Tengku Maimun tidak sepatutnya dengar rayuan akhir Najib - Muhammad Shafee

Tengku Maimun tidak sepatutnya dengar rayuan akhir Najib – Muhammad Shafee

KENDERAAN membawa Najib Tun Razak meninggalkan pekarangan mahkamah selepas hadir bagi pendengaran permohonannya agar sabitan dan hukuman penjara dalam kes rasuah SRC International disemak semula di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak sepatutnya berada dalam panel hakim yang mendengar dan memutuskan rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Ogos tahun lalu.

Ini kerana Hakim Tengku Maimun telah terlibat dalam pendengaran rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.

Bukti baharu itu antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Turut terlibat pada dalam pendengaran rayuan yang dijalankan pada Mac 2022 ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

“Disebabkan Ketua Hakim Negara telah terlibat dalam pendengaran rayuan untuk memasukkan bukti baharu itu, maka telah berlaku kegagalan korum. Beliau tidak sepatutnya berada dalam (panel) rayuan akhir tersebut,” kata peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Selain itu, Hakim Tengku Maimun tidak boleh terlibat dengan kes membabitkan Najib kerana suaminya, Datuk Zawawi Zamani telah membuat beberapa hantaran yang mempunyai sentimen negatif terhadap bekas Presiden UMNO itu di laman sosial Facebook, lima tahun lalu.

Hantaran Facebook itu dibuat selepas kejatuhan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang turut menyentuh mengenai skandal penyelewengan dana syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC International.

“Kritikan yang teruk dibuat olehnya (suami Hakim Tengku Maimun) terhadap Najib pada 2018 sebaik sahaja keputusan (pilihan raya) diumumkan. Ia seperti satu perayaan di Facebook. Bagaimanapun hantaran tersebut telah dipadamkan selepas laporan polis mengenainya dibuat pada Ogos 2022,”katanya.

“Kami menyatakan bahawa kegagalan korum berlaku dalam permohonan supaya ketua hakim negara menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kerana keputusan mahkamah terdahulu diputuskan dengan tidak wajar mengikut seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.

“Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa, penghakiman berhubung usul untuk menyingkirkannya diputuskan sebulat suara oleh kesemua lima hakim Mahkamah Persekutuan. Tengku Maimun menulis penghakiman utama dan empat hakim lain bersetuju dengannya.

“Oleh kerana perbincangan dan penyertaan Tengku Maimun dalam usul berhubung dirinya secara teknikalnya adalah cacat, dan satu-satunya penghakiman yang tinggal adalah daripada empat hakim lain yang bercanggah dengan artikel 74 CoJA,”ujar Muhammad Shafee.

Pada 23 Ogos tahun lalu, peguam terdahulu Najib, Datuk Hisyam Tek Poh Teik membuat permohonan agar Hakim Tengku Maimun menarik diri daripada terus mendengar rayuan akhir atas dakwaan pertimbangan Ketua Hakim Negara itu mungkin dipengaruhi sentimen negatif suaminya, Datuk Zamani Ibrahim.

Permohonan itu bagaimanapun ditolak oleh panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tengku Maimun atas alasan tidak wujud sebarang elemen berat sebelah yang timbul daripada hantaran yang dibuat oleh suami Hakim Tengku Maimun, empat tahun lalu.

“Hubungan suami isteri tidak boleh dijadikan alasan bahawa ia akan mempengaruhi pertimbangan seseorang hakim. Ketika hantaran Facebook dibuat oleh suami saya, kes ini tidak lagi wujud.

“Pembelaan juga gagal menunjukkan kaitan antara hantaran Facebook itu dengan kes ini sehingga timbulnya bahaya berlakunya keputusan yang berat sebelah,”kata Hakim Tengku Maimun pada prosiding yang dijalankan pada 23 Ogos 2022.

Hujahan tersebut dibuat Muhammad Shafee pada prosiding semakan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukumannya selepas didapati bersalah atas pelbagai tuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dalam rayuan akhirnya pada Ogos tahun lalu.

Semakan itu didengar oleh Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Hujahan bersambung esok dengan hujahan balas oleh pihak pendakwaan yang diketuai, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya