KUALA LUMPUR: Golongan kaya (T20) adalah kumpulan paling tinggi menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai RM 17.8 bilion pada tahun lalu .
Menyifatkan ia suatu perkara yang tidak wajar, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia adalah subsidi yang ‘tersasar’ kerana tidak dinikmati golongan yang sepatutnya iaitu B40 dan M40.
Katanya, sebanyak 24 peratus golongan berkenaan memanfaatkan subsidi terbabit manakala M40 membabitkan 41 peratus.
“Jika kita tidak mahu lagi T20 mendapat subsidi petrol, diesel dan LPG, kerajaan boleh menjimatkan sebanyak RM15 billion hingga RM17 billion.
“Jadi Ahli Yang Berhormat boleh membayangkan berapa banyak perkara lain yang kita boleh gunakan daripada RM15 bilion hingga ke RM17 bilion itu untuk membantu rakyat dalam pelbagai perkara dan urusan di 26 kementerian,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, beliau mengulas perkara sama susulan soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) sama ada penggunaan pangkalan data bersepadu dalam mekanisme subsidi bersasar benar-benar berkesan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah penyelesaian mengenai perkara itu masih di peringkat kajian dan dilaksanakan sebaik sahaja ia diputuskan di peringkat Kabinet.
“Ini cara yang tidak lestari pada masa akan datang, kaedahnya hanya akan dimaklumkan selepas keputusan Kabinet. Bagaimana cara untuk diputuskan, apa keputusan jawatan kuasa yang menguruskan subsidi bersasar, ia akan dimaklumkan kemudian,” katanya. – UTUSAN