Suspek samun dicekup cuba lolos langgar kereta orang awam - Utusan Malaysia

Suspek samun dicekup cuba lolos langgar kereta orang awam

Suspek samun
KEADAAN kereta suspek (kanan) yang terbabas dalam kejadian itu di Kampung Pendamar, Pelabuhan Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan nekad seorang suspek samun meloloskan diri lebih 20 kilometer (km) dengan kereta dipandunya yang dikejar polis gagal selepas dicekup di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini, semalam.

Lelaki tempatan berusia 31 tahun yang menaiki Proton Inspira itu dipercayai bukan saja enggan menyerah diri malah turut bertindak melanggar kenderaan orang awam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tembak melibatkan dua kenderaan di Kampung Pendamar, kira-kira pukul 7 petang.

Katanya, siasatan mendapati sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah mengejar suspek yang terlibat kes samun di Subang Jaya.

“Kejadian kejar mengejar berlaku dari Banting ke Klang dan suspek memandu secara berbahaya sehingga melanggar beberapa kenderaan orang awam.

“Setibanya di kawasan Masjid Kampung Pendamar, suspek melanggar kereta digunakan polis secara agresif dan turut nyaris melanggar kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Hoong Fong, polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan lelaki tersebut.

“Kereta suspek melanggar bonggol jalan dan melanggar kereta orang awam lalu terbabas di tepi jalan. Suspek kemudian melarikan diri namun berjaya diberkas di kawasan Jalan Kem bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, semakan mendapati lelaki itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan bunuh. Suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bagi siasatan lanjut kes samun di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” jelasnya

Tambah Hoong Fong, siasatan menyeluruh masih dijalankan dan akan dilengkapkan dalam tempoh terdekat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya ke IPD Klang Selatan di talian 03-33719999 atau balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya