Suami separuh lumpuh setia jaga isteri hilang ingatan

Suami separuh lumpuh setia jaga isteri hilang ingatan

MAT Izam Mohd. Kalam menjaga isterinya yang mengalami masalah hilang ingatan di rumah mereka di Taman Sri Telawi, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang warga emas yang lumpuh hampir separuh badan bukan sahaja diuji dengan masalah angin ahmar malah berdepan ujian berganda apabila isterinya hilang ingatan selepas berlaku pendarahan otak sejak empat tahun lalu.

Dalam keadaan kesihatan yang tidak stabil, Mat Izam Mohd. Kalam, 60, terpaksa berhenti kerja dan hilang sumber pendapatan bagi memberi tumpuan kepada isterinya, Heryalti Tayalis, 56.

Mat Izam berkata, isterinya diuji kehilangan memori selepas berlaku pendarahan otak pada 2019 akibat terjatuh di rumah sewa mereka di Kuala Selangor, Selangor.

“Kesan daripada itu, isteri tidak mampu berdiri lama dan pergerakannya perlu dibantu yang mana dia ditahan di wad Hospital Sungai Buloh selama tiga bulan. Selepas pembedahan keadaannya banyak berubah. Bila kita bercakap isteri faham tetapi respon itu lambat, dia seperti hilang kata-kata,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Telawi di sini, semalam.

Menurut Mat Izam, doktor memaklumkan berlaku keretakan pada tengkorak selain terdapat darah beku dalam otak isterinya yang memerlukan pembedahan segera dilakukan ketika dirawat di hospital.

“Doktor minta supaya saya berehat sementara menunggu pembedahan isteri selesai, bagaimanapun ketika dikejutkan doktor pada pukul 3 pagi, secara tiba-tiba tangan kiri saya tidak boleh diangkat.

“Saya cuba berdiri, namun kaki kiri juga lemah dan terjatuh. Saya ‘berkampung’ di sebuah wakaf di hospital itu dalam keadaan hampir sebelah badan lumpuh sepanjang isteri dirawat,” katanya.

Bercerita lanjut, Mat Izam memberitahu, pada waktu itu dia bekerja sebagai penyelia sebuah kilang besi di Sungai Buloh, Selangor tetapi masih dibenarkan melakukan kerja-kerja ringan oleh majikan.

“Namun, saya banyak mengambil cuti sebelum membuat keputusan balik ke Seremban dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban,” katanya.

Lebih menyedihkan, Mat Izam berkata dalam keadaan diuji sebegini, dia membuat permohonan mendapatkan pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2019 selepas disahkan menghidap strok, namun malangnya ia ditolak.

“Berdasarkan keputusan jemaah doktor, saya dinyatakan masih berupaya untuk bekerja. Tetapi dengan keadaan saya yang strok sebelah kiri, majikan mana yang mahu mengambil saya bekerja,” katanya yang memohon pertimbangan Perkeso.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah turun padang menziarah suami isteri berkenaan dan menyampaikan bantuan awal wang tunai selain dalam proses membantu mendapatkan bantuan bulanan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mat Izam di talian 013-7580164 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0510129000014927 (Heryalti Tayalis). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya