Suami hilang ingatan akibat kemalangan, isteri risau nasib keluarga

Suami hilang ingatan akibat kemalangan, isteri risau nasib keluarga

SITI Nurliyana Rosli bersama suaminya, Zamri Jamaludin dan anak-anak mereka ketika ditemui di Kampung Sawah Lebar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang penghantar makanan mengalami masalah hilang ingatan dan tidak mampu bekerja untuk menyara keluarga selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, minggu lalu.

Zamri Jamaludin, 30, mengalami pendarahan yang teruk ekoran kemalangan pada 16 Februari lalu ketika dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan di sini.

Keadaan yang dialami Zamri menyebabkan isterinya, Siti Nurliyana Rosli, 23, hilang tempat bergantung dan tiada sumber pendapatan keluarga kerana dia hanya suri rumah dan tiga anaknya masih kecil.

“Selepas kemalangan, setiap hari suami mengadu pening akibat hentakan kuat di kepala dan berlaku pendarahan.

“Dia sukar untuk ingat apa yang terjadi tetapi Alhamdulilah dia masih ingat nama saya dan anak-anak walaupun ada kalanya panggilan bertukar,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Sawah Lebar, di sini semalm.

Bercerita lanjut, Siti Nurliyana berkata, adakalanya suaminya mengadu sakit dada dan muntah serta pernah menangis menahan kesakitan.

“Dulu suami tegas dan manja dengan anak-anak, tetapi sekarang akibat hilang ingatan dia berubah seperti seorang kanak-kanak dan sering bertanya soalan sama.

“Doktor beritahu, ingatan suami akan mengambil masa untuk pulih sekitar empat tahun, sekarang saya buntu, hendak bekerja anak-anak masih kecil dan perlu menjaga suami,” katanya.

Pasangan tersebut mempunyai tiga orang anak perempuan iaitu Siti Nur Sumayyah, 4, Siti Nur Aisyah, 2, dan Siti Nur Affiyah, empat bulan.

Lebih merisaukan kata Siti Nurliyana, dalam tempoh suami sakit dia terputus sumber kewangan dan hanya mengharapkan ihsan keluarga mentua.

“Anak-anak masih kecil, keperluan susu dan lampin pakai buang mereka sahaja lebih kurang RM200 sebulan belum lagi sewa rumah RM150 dan keperluan lain,” katanya.

Siti Nurliyana berkata, sebelum ini dia pernah bekerja kilang namun berhenti kerja pada Mei tahun lalu kerana alahan teruk ketika mengandung anak bongsu.

“Saya fikir mungkin saya perlu bekerja semula, tetapi dengan keadaan anak yang semuanya masih kecil ia agak susah untuk saya kerana kos pengasuh juga agak mahal sekarang.

“Jika ada sesiapa bersedia tawarkan kerja bersesuaian yang boleh saya buat dari rumah, saya bersedia menerimanya,” katanya.

Mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyumbang kepada keluarga ini boleh menyalurkan di akaun bank CIMB 7621637509 atas nama Siti Nurliyana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.