SMART mulakan operasi SAR di Nurdagi, Gaziantep - Utusan Malaysia

SMART mulakan operasi SAR di Nurdagi, Gaziantep

ANGGOTA SMART membantu mangsa yang mengalami serangan jantung di Gaziantep, Turkiye. – IHSAN NADMA

PETALING JAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Gaziantep, Turkiye.

Operasi SAR itu bermula di ‘ground zero’ kawasan Nur­dagi, Gaziantep yang merupakan kawasan terjejas teruk dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.8 magnitud, Isnin lalu.

Melalui perkongsian di Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Jabatan Perdana Menteri, SMART turut bekerjasama dengan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (Insarag).

“Selain SAR, pa­sukan turut menghulurkan bantuan berhampiran khemah mangsa.

“Antaranya bantuan awal dalam membantu mangsa me­ngalami serangan jantung,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, pasukan kedua SAR yang berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) selamat tiba di Istanbul, Turkiye.

Difahamkan, ketibaan pasukan penyelamat kedua di bawah seliaan Nadma itu disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Pasukan yang merangkumi 72 anggota daripada SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu berlepas ke Turkiye tengah malam kelmarin (waktu Malaysia) menaiki pe­nerbangan Turkish Airline untuk menyertai misi SAR mangsa gempa bumi di negara itu.

Terdahulu memetik agensi berita Anadolu, jumlah korban dalam dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye sudah melepasi 12,000 orang.

Agensi Pengurusan Bencana (AFAD) Turkiye dilaporkan berkata, seramai 12,391 orang terbunuh, manakala 62,914 yang lain cedera dalam gempa bumi yang berlaku pada Isnin lalu dan berpusat di wilayah Kahramanmaras.

Wilayah lain di selatan dan timur Turkiye yang turut terjejas ialah Gaziantep, Hatay, Osmaniye, Adiyaman, Malatya, Sanliurfa, Adana, Diyarbakir dan Kilis.

Negara jiran khususnya Syria turut terjejas. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN