PETALING JAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) setakat ini menemukan kira-kira 50 mangsa gempa bumi di Nurdagi, Gaziantep di Turkiye.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Komander Operasi, Mohd. Khairul Jamil berkata, setakat ini seramai lima mangsa diselamatkan hidup manakala selebihnya telah meninggal dunia.
Katanya, kesemua mangsa itu ditemukan hasil daripada operasi oleh pasukan MAS-01 dan MAS-10.
“Kesemua anggota dalam keadaan baik walaupun operasi dijalankan dalam keadaan cuaca yang sejuk.
“Kita optimis dalam melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi ini,” katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan anjing pengesan Denti dan empat pegawai dari Mas-10 direhatkan sementara akibat masalah kesihatan.
Ketua Pasukan MAS-10, Abdul Manaf Che Isa dilaporkan berkata, pegawai berkenaan direhatkan selepas mengalami demam selain tangan dan bahu mereka cedera akibat reput fros.
Selain itu, anjing pengesan Denti direhatkan sementara waktu akibat selesema. – UTUSAN