Skim kutu 'Sapiza' perdaya ribuan peserta termasuk ustaz, polis

Skim kutu ‘Sapiza’ perdaya ribuan peserta termasuk ustaz, polis

Hishamuddin Hashim (lima dari kiri) dan Musa Hassan (empat dari kanan) bersama mangsa penipuan skim pelaburan wang kutu dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skim pelaburan kutu dipercayai didalangi seorang wanita dikenali sebagai ‘Sapiza’ yang kononnya menawarkan kadar pembayaran ekstra tinggi memperdaya ribuan mangsa di seluruh negara membabitkan kerugian dianggarkan RM50 juta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, wanita berusia lingkungan 50-an digelar sebagai ‘ibu kutu’ dalam Skim Saving Sapiza itu turut dibantu beberapa ejen.

Katanya, skim kutu itu menawarkan kadar pembayaran ekstra tinggi dan tidak pernah dijanjikan oleh mana-mana institusi kewangan serta pelaburan sah, iaitu sebanyak 60 peratus daripada jumlah pelaburan.

“Tawaran ini menarik ribuan individu termasuk yang bergelar ustaz, puluhan anggota polis dan ratusan penjawat awam.

“Kira-kira 60 aduan daripada mangsa yang diterima MHO dengan anggaran RM600,000 kerugian, tetapi ramai lagi mangsa yang tidak berani tampil membuat aduan dan anggaran kerugian seluruh mangsa yang difahamkan kepada MHO adalah kira-kira RM50 juta.

“Kami difahamkan, penganjur skim itu yang dikenali sebagai ‘ibu kutu’ atau Sapiza bersama tujuh ejennya telah ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan akan dikenakan tahanan reman untuk siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Hishamuddin berkata, pihaknya khuatir sekiranya ‘ibu kutu’ dan ejen terbabit diserahkan kepada agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan kerana mendakwa SSM melalui Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) hanya membuat tuduhan di bawah akta larangan dengan hukuman maksimum cuma RM500,000 atau penjara.

Sedangkan, katanya, jenayah yang dilakukan adalah sangat berat dan wajar dipenjara serta diberikan hukuman yang setimpal dengan jumlah kerugian mangsa.

Sementara itu, seorang mangsa dari Johor yang enggan namanya didedahkan berkata, pembayaran awal skim itu sangat baik untuk beberapa bulan pertama dan mendapat pulangan dijanjikan sehingga mereka mula berani meletakkan jumlah wang yang besar mencecah RM70,000 seorang.

“Namun sehingga Ogos tahun lalu, pembayaran mula lewat dan kumpulan aplikasi WhatsApp mula sepi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, semua pihak terlibat perlu mewujudkan hubungan kerjasama yang baik agar dapat melaksanakan tindakan lebih cepat dalam menangani kes seumpama itu.

Bekas ketua polis negara itu berkata, pencegahan awal adalah lebih baik daripada menanggung akibat yang teruk.

“Kerjasama pihak bank dengan polis sangat penting. Pihak bank perlu memberi laporan secepat mungkin terhadap transaksi yang mencurigakan.

“Selain itu, pihak berkuasa harus bertindak dengan lebih tegas terhadap jenayah penipuan dengan menetapkan hukuman berat dan bertindak cepat. Jika tidak orang tidak takut untuk melakukan jenayah penipuan di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN