Siti Bainun lantik semula peguam lama - Utusan Malaysia

Siti Bainun lantik semula peguam lama

SITI Bainun Ahd Razali ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. - M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini dimaklumkan salah seorang peguam bela pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kembali mewakilinya dalam bicara bela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella selepas menarik diri pada 13 Januari lalu.

Ketika prosiding, Siti Bainun memberitahu Hakim Izralizam Sanusi, peguamnya, Mohammad Farhan Maaruf akan mewakilinya dan tidak lagi memerlukan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Siti Bainun turut berkata, dia tidak pernah berhenti meminta peguam-peguamnya sebelum ini untuk terus mewakilinya malah turut memaklumkan YBGK berhubung perkara itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas telah minta mahkamah untuk merekodkan kronologi penarikan diri peguam-peguam yang terlibat mewakili Siti Bainun dalam kes tersebut.

“Saya mohon mahkamah untuk rekodkan Mohammad Farhan telah menarik diri pada 13 Januari yang kemudian diikuti oleh Nur Ellena Mohamed Razif. Sementara itu, Asiah Abd. Jalil juga telah menarik diri.

“Peguam, Nur ‘Aminahtul Mardiah Md. Nor telah membuat permohonan penarikan diri secara terbuka di mahkamah dan Nurul Hafidzah Hassan pula membuat permohonan sama secara bertulis,” katanya.

Dalam prosiding lalu, Siti Bainun dalam keterangan bicara bela dirinya memaklumkan kesan gigitan pada Bella adalah berpunca daripada pergaduhan antara Bella dengan seorang bekas penghuni Rumah Bonda yang dikenali sebagai Balqis.

Menurutnya, pertelingkahan dan kejadian gigitan itu berlaku selepas Bella dikatakan memakai pencuci muka milik Balqis.

Sebelum itu, Siti Bainun dalam keterangannya turut memberitahu, disebabkan video tular Bella, dia telah dikecam dan diugut bunuh sehingga hari ini malah hilang pekerjaan selain perniagaan makanan yang diusahakan turut dipulau.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya