Shadan ketuai angkat sumpah PBT Melaka

Shadan ketuai angkat sumpah PBT Melaka

SHADAN Othman mengetuai angkat sumpah jawatan PBT di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang baharu dilantik, Datuk Shadan Othman mengetuai angkat sumpah jawatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali hari ini.

Turut mengangkat sumpah ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Rosemanizam Mohd. Nalif.

Sejurus tamat majlis, Sulaiman menyerahkan watikah pelantikan kepada Shadan, Saifuddin, Rosemanizam dan Sapiah.

Upacara ringkas diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Sulaiman berkata, kerajaan negeri berharap semua ketua PBT yang dilantik dapat menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang, sekali gus membantu melancarkan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, semua PBT perlu cakna dalam menyelesaikan isu yang sering dibangkitkan oleh penjaja kecil.

Menurutnya, PBT juga perlu menyelesaikan masalah penjaja kecil yang tidak mempunyai lesen dengan melakukan sedikit inovasi bagi memudahkan mereka membuat permohonan dan diluluskan.

“Selain itu kena lakukan naik taraf kemudahan dan prasarana di kawasan-kawasan perniagaan mereka agar lebih kondusif dan mesra pelanggan,” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan.

Sulaiman menambah, aspek kebersihan harus diberikan tumpuan utama di kawasan pentadbiran masing-masing bagi mengembalikan semula status Melaka yang dahulunya pernah diiktiraf sebagai negeri terbersih dan terindah di negara ini.

“Dalam usaha mencapai visi Menuju Negeri Lestari, peranan PBT amat penting terus menjaga alam sekitar ke arah persekitaran yang kondusif dan menjadikan Melaka sebagai negeri indah, ceria dan selamat,” jelasnya.

Shadan dilantik sebagai Datuk Bandar MBMB menggantikan Datuk Zainal Abu yang tamat perkhidmatan pada 31 Januari 2023.

Sapiah yang pernah memegang jawatan sama dari 2011 hingga 2014 kembali semula memimpin MPHTJ sehingga Disember 2023, manakala tempatnya yang dikosongkan di MPJ diisi Rosemanizam yang juga bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Unit Kerajaan Tempatan (UKT).

Saifuddin pula kekal sebagai Yang Dipertua MPAG meneruskan jawatan itu berkuat kuasa mulai 1 September 2022 sehingga 1 September 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya