SUNGAI PETANI: Sekretariat Kerajaan Perpaduan melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pertemuan seterusnya melibatkan kepemimpinan kedua-dua gabungan pada 19 Mac ini.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pertemuan itu bagi melaporkan perkembangan semasa melibatkan tiga jawatankuasa yang ditubuh sebelum ini terutama berkaitan pembahagian kerusi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Menurutnya, perundingan di peringkat PH dalam perkara berkaitan kini sedang dilangsungkan antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum fasa seterusnya iaitu berbincang dengan BN.
“(Dalam soal pembahagian) kerusi di peringkat PH melibatkan enam negeri tidak sulit kerana kami sudah ada asas (pembahagian), (tetapi) soalnya nanti apabila kami duduk (berbincang) dengan BN baru kita tengok balik (jika ada perkara yang berbangkit).
“Tetapi apa yang penting kesediaan dua blok (PH-BN) untuk duduk bersama-sama kerana dua gabungan ini penting terutama di Kedah bagi mengelak (pertembungan) tiga penjuru yang sudah pasti kita masuk PRN nanti dengan kombinasi PH-BN sebagai dua komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen PH Kedah di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor Sungai Petani, di sini hari ini.
Pada 7 Februari lalu, mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya terutamanya dalam menghadapi PRN yang dijangka diadakan selepas Jun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua jawatankuasa lain yang disepakati PH dan BN adalah Jawatankuasa Strategi serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.
Menurut Anwar, Jawatankusa Pilihan Raya itu akan merencanakan berkaitan PRN terutamanya pembahagian kerusi dan menumpukan kegiatan mereka untuk memastikan Kerajaan Perpaduan mempunyai tapak kukuh dalam PRN nanti. –UTUSAN










