PETALING JAYA: Bekalan sayur-sayuran dijangka tidak dapat menampung permintaan yang tinggi menjelang bulan Ramadan berikutan hasil pengeluaran sayur dalam negara terjejas akibat cuaca hujan.
Presiden Persatuan Pekebun Sayur Yong Peng, Cheng Tai Hoe berkata, jika hujan berterusan sehingga hujung bulan ini, maka bekalan sayur pada bulan Ramadan tidak akan mencukupi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, sayur jenis buah memerlukan masa panjang sehingga dua bulan untuk matang seperti terung, tomato, kacang dan cili yang sering mendapat permintaan tinggi semasa bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Disebabkan itu, dijangkakan bekalan sayur tidak mencukupi menjelang puasa dan harga bakal terus meningkat berikutan permintaan tinggi pada musim perayaan nanti.
“Tetapi tidak ada masalah bagi sayur jenis daun seperti bayam dan sawi kerana masih ada masa untuk matang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, media melaporkan harga sayur-sayuran dijangka melambung tinggi disebabkan cuaca hujan yang menjejaskan bekalan dalam negara ketika ini.
Tai Hoe berkata, hasil sayur-sayuran import dari Thailand pun dijangka tidak mencukupi kerana hasil pengeluaran di sana turut terjejas sehingga harga sayuran yang dibawa masuk dalam negara melambung naik.
Tambahnya, antara peningkatan harga luar biasa ialah Timun yang mencecah RM9 hingga RM10 sekilogram berbanding RM6 harga maksimum sebelum ini.
“Kacang panjang import dari Thailand juga sudah mencecah RM16 sekilogram ekoran hasil pengeluaran di sana yang dilaporkan rendah ekoran hujan.
“Ladang-ladang sayur di Yong Peng sendiri pun banyak terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini dan pengeluaran sayur-sayuran amat kurang sejak dua minggu lalu lagi,” ujarnya. – UTUSAN











