PADANG RENGAS: Walaupun sudah bergelar duta, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tetap akan menyokong dan menjadi ahli UMNO, parti yang dianggotainya sejak lebih 40 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu yang dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) berkata, meskipun tidak lagi boleh berpolitik, beliau tetap akan menjadi ahli UMNO Bahagian Padang Rengas.
Beliau yang tidak mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkata, berhenti daripada politik tidak menghalangnya daripada menjadi ahli UMNO.
“Saya masih ahli UMNO, itu tidak boleh dinafikan. Saya tak akan berhenti menjadi ahli kepada parti yang sudah saya anggotai lebih 40 tahun
“Apa juga yang berlaku, saya tetap kekal menjadi pemegang kad keahlian UMNO Bahagian Padang Rengas, cuma saya tidak akan berpolitik, saya menjadi ahli sahaja.
“Apabila dilantik duta, perkara yang dilarang ialah kalau kita jadi ADUN atau Ahli Parlimen atau pun Senator, ini yang dilarang oleh peraturan diplomat, sebagai ahli parti politik tak apa,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Kubang Halban di sini kelmarin.
Ditanya sama ada beliau tidak akan lagi mengikuti perkembangan politik negara, Mohamed Nazri berkata, beliau ambil tahu hanya sekadar kalau ia boleh membantu kerjayanya sebagai seorang duta.
“Itu sahaja tidak lebih daripada itu. Suara lantang sewaktu saya ahli politik, tetapi apabila menjadi diplomat, saya sudah tidak boleh lantang, cakap baik-baik, diplomatik,” katanya.
Mengenai pihak yang mempertikaikan pemilihannya sebagai duta, Mohamed Nazri berkata, beliau tidak mahu melayan perkara itu dan mereka cuma mahukan publisiti murahan.
“Apa yang kerajaan buat yang mereka tak kritik? Kerajaan semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Ismail Sabri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk kerajaan sekarang yang rakyat cukup suka, iaitu Perdana Menteri Anwar Ibrahim pun mahu kritik juga.
“Jadi kita ibaratkan mereka seperti luncailah, terjun dalam sungai dan tenggelam dengan labu-labunya, biarlah,” katanya.
Mengenai pihak yang mempertikaikan lantikan itu kerana Mohamed Nazri bukan daripada sistem diplomatik, beliau berkata, pelantikan duta dalam kalangan ahli politik bukan perkara baru.
“Kalau itu yang dibangkitkan, kita rujuk latar belakang sejarah amalan pelantikan Duta Malaysia ke AS. Masa mula-mula merdeka, ramai ahli politik yang dilantik sebagai duta di AS.
“Antaranya Tun Omar Ong Yoke Lin selama 10 tahun menjadi duta di AS dan Tun Ismail Ali, selepas itu Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Razak, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, kemudiannya Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, kemudian Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Tan Sri Zulhasnan Rafique.
“Ini semua pelantikan yang dibuat oleh Perdana Menteri. Jadi kalau saya dilantik, bermakna bukan kes pertama,” katanya. – UTUSAN










