Saya bukan merajuk - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Saya bukan merajuk – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) dalam sidang akhbar selepas Majlis Latihan Kebombaan Keselamatan Di Air di Waterfront Bera di Bera, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau bukan merajuk apabila membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu bagi sesi 2023-2026.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau konsisten dengan pendirian bahawa semua jawatan dalam parti perlu dipertandingkan selaras perlembagaan dan idealisme UMNO.

“Saya bukan merajuk, tetapi saya konsisten dengan pendirian saya yang tidak bersetuju dua jawatan tertinggi UMNO iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bila saya bertanding Naib Presiden, ia memberi makna bahawa saya bersetuju dan mengiktiraf dua jawatan tertinggi UMNO tersebut tidak dipertandingkan.

“Jadi saya perlu konsisten dengan pendirian dan saya tidak bertanding jawatan Naib Presiden,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Latihan Kebombaan Keselamatan Di Air di Waterfront Bera di sini hari ini.

Beliau berpandangan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sepatutnya menangguhkan pemilihan UMNO kali ini kerana belum ada keputusan dibuat berhubung usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Sekarang ROS belum buat keputusan, sepatutnya keputusan dibuat sebelum tarikh tutup (pemilihan UMNO), sebab apa kata tiba-tiba ROS buat keputusan tindakan Perhimpunan Agung UMNO itu bertentangan perlembagaan, oleh itu semua jawatan mesti dipertandingkan.

“Kalau ini berlaku sudah jadi akademik, jadi ROS sepatutnya menangguhkan, bagi saya ROS perlu menangguhkan pertandingan dalam UMNO, sebab kalau tidak tiba-tiba dia kata boleh bertanding, ada yang bertanding jawatan Naib Presiden mungkin hendak bertanding Presiden atau Timbalan Presiden. Jadi dia sudah hantar nama untuk Naib Presiden. Jadi saya percaya kalau ROS hendak buat keputusan, oleh kerana sekarang belum ada keputusan, ROS patut menangguhkan pemilihan sehingga ia membuat keputusan.

“Ini kerana, dalam akta pertubuhan, ada klausa mengatakan ROS berkuasa menangguhkan pemilihan. Jadi, ROS patut guna itu bahawa sebelum keputusan dibuat semua pemilihan ditangguhkan,” katanya.

Ditanya hubungannya ketika ini dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ismail Sabri berkata, ia tiada masalah kerana beliau memang rapat dengan Ahmad Zahid termasuk ahli keluarga Presiden UMNO itu.

“Tak ada masalah, saya secara peribadi bukan setakat rapat dengan Presiden, dengan Isteri, anak-anak Presiden saya rapat, saya kenal Presiden sejak sekolah lagi, tiada isu.

“Tapi politik, perbezaan pandangan itu sahaja dan Presiden sentiasa mengatakan Presiden meraikan perbezaan pandangan dalam UMNO, saya dengan dia berbeza sedikit pandangan, tapi dari segi peribadi, tiada isu,” katanya.

Mengulas laporan Utusan Malaysia bahawa beliau akan bersara politik, Ismail Sabri berkata, akhbar ini membuat kesilapan kerana ia memetik daripada sumber.

“Semalam Utusan Malaysia buat kesilapan sebab dia dapat dari sumber sebab kadang-kadang sumber ini tidak berapa betul, dia kena dapatkan dari saya sendiri.

“Sudah lama saya sebutkan, saya rasa sewaktu jamuan di Bera lebih sebulan lalu. Pertama, saya sebut saya belum buat keputusan untuk bertanding atau tidak jawatan Naib Presiden, tapi yang pasti saya bertanding Ketua UMNO Bahagian Bera kerana saya masih lagi Ahli Parlimen Bera.

“Sewaktu tarikh tutup pencalonan, saya difahamkan oleh Setiausaha UMNO Bahagian hanya satu kertas pencalonan melalui bahagian Bera iaitu saya, kalau tiada yang hantar, saya menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera.

“Saya tak pernah kata saya hendak bersara, saya cuma kata tak bertanding Naib Presiden, waktu itu saya cuma bayangkan dan pada tarikh hantar borang, saya tidak hantar borang, jadi MalaysiaKini hubungi saya, waktu itu lagi 10 minit dan saya kata saya sedang berjoging di Shah Alam tak sempat hantar borang, jadi dia faham. Bila tak hantar borang automatik saya tidak bertanding,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini