PETALING JAYA: Usaha penyanyi bervokal lunak, Dayang Nurfaizah menghasilkan album lagu Melayu klasik, Belagu II mendapat pujian banyak pihak.
Penghargaan itu turut diberikan penyanyi legenda, Datuk Andre Goh yang memuji keberanian Dayang mengangkat semula irama tradisional dan Melayu Asli ketika penyanyi lain lebih gemar menonjolkan muzik moden.
Andre atau nama sebenarnya, Goh Eng Boon berkata, Dayang sangat menghormati penyanyi senior lain dan itu juga antara faktor yang meletakkan namanya masih kekal sehingga sekarang.
“Dayang sangat menghormati saya sebagai penyanyi lama. Dia menghubungi saya untuk meminta kebenaran menyanyikan semula lagu asli yang saya cipta, Dikirim Jangan, Dipesan Jangan dalam album Belagu, tahun lalu.
“Saya sangat bangga dan berterima kasih kerana Dayang menyampaikan lagu itu dengan baik. Semoga usahanya untuk album Belagu II mendapat sambutan ramai,” kataya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Andre, dia berbangga dengan usaha penyanyi tersebut menghasilkan album kontemporari klasik dan berharap jejak langkah Dayang diikuti penyanyi lain.
“Dayang sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi album tersebut, malah turut memperjuangkan irama Melayu Asli sedangkan dia bermula bukan sebagai penyanyi genre tersebut.
“Dia ada menghadiahkan saya salinan album tersebut, selain jumlah bayaran agak besar. Saya tidak berharap semua itu, cukuplah meminta keizinan dan kebenaran,” katanya.
Dalam pada itu, Andre menegaskan, dia bukan menentang penyanyi baharu memilih genre moden, sebaliknya jangan meminggirkan lagu Melayu Asli seperti inang dan zapin.
Jelasnya, lagu Melayu Asli adalah khazanah turun-temurun yang melambangkan identiti bangsa di negara ini.
“Tidak kisah nak nyanyi lagu rap atau pop, tetapi jangan ketepikan seni dan budaya. Saya tidak mahu suatu hari nanti, cucu-cicit kita tidak tahu tentang lagu asli dan terpaksa pergi muzium untuk mendengar lagu tersebut. Seboleh-bolehnya jangan jadi sampai tahap itu,” katanya.
Bagi mengangkat irama tersebut, Andre berkata, sudah tiba masa pihak produksi televisyen meletakkan syarat pertandingan kepada semua peserta untuk menyanyikan lagu asli selain lagu moden.
“Kita tidak mahu lagu tradisional sekadar dinyanyikan untuk menyambut tetamu kehormat sahaja. Kalau kita tidak ambil peduli, ia akan terkubur begitu sahaja,” luahnya.










