Saintis USM perkenal inovasi mudah halau nyamuk Aedes - Utusan Malaysia

Saintis USM perkenal inovasi mudah halau nyamuk Aedes

NUR FAEZA Abu Kassim (tengah) memperkenalkan inovasi baharu yang mesra alam sekitar untuk mencegah nyamuk Aedes menerusi Program COMBI Lawan Denggi 2023 dan Pertandingan Kutip Sampah berpasukan di pekarangan Flat Hamna, Sungai Dua, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang saintis Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Nur Faeza Abu Kassim memperkenalkan inovasi baharu yang mesra alam sekitar untuk mencegah nyamuk Aedes.

Nur Faeza yang merupakan pensyarah dan penyelidik kawalan vektor serta penyakit bawaan nyamuk terutamanya Aedes dan culex di Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM berkata, inovasi tersebut dikenali sebagai BioGel iaitu manik hidrogel yang mampu menarik dan membunuh nyamuk serta penggunaan tumbuhan tempatan untuk menghalau nyamuk Aedes.

”BioGel Bait menggunakan ‘sugar bait technology’ iaitu memanipulasikan cara pemakanan vektor bertindak dengan kaedah ‘attract and kill’.

”Ia bertujuan memusnahkan nyamuk Aedes iaitu vektor demam denggi dalam semua peringkat kitar hidup termasuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program COMBI Lawan Denggi 2023 dan Pertandingan Kutip Sampah berpasukan di pekarangan Flat Hamna, Sungai Dua, di sini baru-baru ini.

Menurut Nur Faeza, Biogel Bait berasaskan campuran ekstrak tumbuh-tumbuhan tempatan ialah salah satu kaedah kawalan secara biologi yang bersifat mesra alam sekitar dan selamat kepada manusia serta haiwan.

Jelasnya, Biogel Bait itu juga mudah digunakan, mesra pengguna malah rendah kos pembuatan.

“Ia sesuai digunakan di dalam dan di luar kawasan rumah, malah boleh diperolehi dengan harga RM10 untuk sebulan penggunaannya,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Faeza berkata, pihaknya turut memperkenalkan penggunaan pokok herba anti-Aedes iaitu limau kasturi, pokok basil dan pokok pudina melalui kerjasama dengan Jabatan Pertanian.

“Pokok yang paling berkesan dan mudah setakat ini ialah pokok basil yang selalunya dijadikan ulam manakala limau kasturi dan pudina memerlukan tempoh tertentu untuk berupaya menghalau nyamuk Aedes,”katanya.

Jelasnya, tumbuhan-tumbuhan itu dipilih berdasarkan kajian yang telah lama dijalankan terhadap penggunaannya untuk menghalau nyamuk.

”Untuk mencegah nyamuk Aedes, kaedah pengurusan kawalan vektor bersepadu adalah penting dan orang ramai perlu menyokong usaha ini dengan sentiasa menjaga kebersihan serta tidak membiarkan air bertakung yang membolehkan nyamuk Aedes membiak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya