Rosakkan kipas, kerusi, tandas sekolah: Pelajar, ibu bapa dipanggil - Utusan Malaysia

Rosakkan kipas, kerusi, tandas sekolah: Pelajar, ibu bapa dipanggil

TANGKAP layar video yang menunjukkan pelajar merosakkan harta benda sekolah yang tular dalam media sosial yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah kebangsaan di SPS, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Pihak sekolah sudah memanggil sekumpulan pelajar yang terlibat dalam aktiviti vandalisme di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) SPS mengambil maklum berhubung isu terbabit dan pihak sekolah memanggil pelajar yang sudah dikenal pasti termasuk ibu bapa mereka bagi membantu siasatan.

“Barangkali bimbingan serta kaunseling juga perlu diberikan kerana berdasarkan video tular itu, saya tidak fikir ia satu perkara yang sepatutnya berlaku. Apatah lagi dalam keadaan kita yang memang tidak berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan di sekolah.

“Justeru, bimbingan dan kaunseling perlu diberikan kepada anak-anak ini bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bantuan Awal Persekolahan Kadun Jawi 2023 di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Nibong Tebal, di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai trend vandalisme berlaku sebelum bermulanya cuti sekolah, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, ia bukan budaya dan siasatan dibuat bagi mencari sebab insiden berkenaan.

“Saya tak fikir itu (vandalisme) budaya, saya fikir ada perkara lain yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan tersebut tapi kita akan siasat. Seharusnya ia tidak wajar menjadi budaya di mana-mana sekolah dan saya harap perkara ini tidak ditularkan demi menjaga dan memelihara identiti pelajar terlibat. Saya harap pihak terlibat dapat menurunkan video terbabit supaya kita dapat berikan tumpuan untuk pemulihan anak-anak ini,” katanya.

Terdahulu, tular dua rakaman video di media sosial berkenaan sekumpulan pelajar lelaki yang dilihat merosakkan harta benda sekolah.

Dalam video berdurasi 28 saat dan 58 saat itu, kelihatan sekumpulan pelajar merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas dan pintu tandas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya