Raja Muda Perlis melawat pejabat jemaah Dato-Dato Perlis - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis melawat pejabat jemaah Dato-Dato Perlis

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke pejabat Jemaah Dato-Dato Perlis di Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke pejabat jemaah Dato-Dato Perlis di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda selaku penaung, disambut oleh Presiden Jemaah Dato-Dato Perlis, Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak (B) serta ahli-ahli jawatankuasa.

Husin seterusnya mempersembahkan taklimat terkini mengenai aset jemaah; struktur organisasi; ekonomi dan perniagaan serta Majlis Santapan Malam Tahunan 2023 yang dicadangkan pada bulan Oktober atau November ini.

Turut dimaklumkan kepada baginda ialah kejayaan kerjasama strategik pihak jemaah bersama Jabatan Pendidikan negeri melaksanakan Program Kecemerlangan Pendidikan yang melibatkan pelajar Tingkatan 5 di 10 buah sekolah menengah sekitar negeri ini.

Pada kesempatan sama, baginda turut mengucapkan tahniah kepada jemaah Dato-Dato Perlis atas usaha mengembangkan sayap dengan penubuhan Yayasan Jemaah Dato-Dato Perlis yang berorientasikan perniagaan.

Baginda menasihatkan agar mereka yang diberikan amanah mengambil pendekatan cermat dan penuh berhati-hati.

Tuanku Syed Faizuddin turut mengesyorkan supaya kempen memperbanyak lagi keahlian diteruskan dengan lebih giat lagi, bagi menarik perhatian Dato-Dato di luar sana akan wujudnya pertubuhan ini.

“Insya-Allah, apabila tujuan dan matlamat penubuhan dan khidmat bakti yang boleh dicurahkan kepada masyarakat menerusi pertubuhan ini dihebahkan, Jemaah Dato-Dato Perlis akan lebih menyerlah keterlibatannya pada masa hadapan,” titah baginda.

Untuk rekod, Jemaah Dato-Dato Perlis yang merupakan sebuah NGO didaftarkan pada 12 Disember tahun 2001 dan kini mempunyai jumlah keahlian secara sukarela seramai 216 orang.

Keahlian jemaah ini terdiri daripada penerima anugerah Dato-Dato Perlis sebagai Ahli Biasa, sementara Dato-Dato yang mendapat kurniaan luar daripada Perlis sebagai Ahli Bersekutu.

Ahli Kehormat pula, dilantik oleh Jawatankuasa Jemaah terdiri daripada mereka yang dikenalpasti dapat membantu dan memajukan perjalanan Jemaah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya