QRT digerak atasi kesesakan kaunter imigresen di KLIA

QRT digerak atasi kesesakan kaunter imigresen di KLIA waktu puncak

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Quick Response Team (QRT) mula dibentuk bagi menangani isu kesesakan serius kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kumpulan berkenaan dipecah kepada dua pasukan bertugas termasuk di KLIA2.

“Seramai 30 orang pegawai sudah ditempatkan hari ini dan mereka memenuhi kaunter pemeriksaan imigresen yang kosong ketika waktu puncak,” jelasnya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan pelaksanaan operasi sulung QRT di KLIA sambil beramah mesra dengan para penumpang antarabangsa yang tiba di terminal berkenaan.

Pada 20 Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengumumkan pembentukan kumpulan itu ekoran rungutan kesesakan pemeriksaan. Isu berkenaan turut pernah dibangkitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang mendapati ada penumpang mengambil masa dua jam beratur.

Masalah itu juga disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila kelmarin mengarahkan JIM agar menambah pegawai di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, pegawai dalam QRT terdiri daripada mereka yang bertugas di sektor operasi dan perkhidmatan sokongan termasuk penguatkuasaan.

“Semua pegawai terlibat sudah diberi pendedahan dan latihan cukup sebelum ditugaskan di kaunter malah JIM akan buat perkara sama di Johor pula mulai Isnin depan,” katanya.

Pembentukan QRT itu melibatkan BSI untuk kemasukan melalui Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Iskandar Puteri bagi pelawat menerusi laluan dari Linkedua. Pasukan di dua pintu masuk sempadan di negeri berkenaan akan membabitkan seramai 40 pegawai JIM dari pelbagai sektor yang ketika ini sedang giat menjalani latihan intensif.

Beliau optimis penugasan QRT di KLIA dan KLIA2 dapat mengurangkan kadar kesesakan selama tujuh jam setiap hari pada waktu puncak antara pukul 2 petang hingga 8 malam.

Sebelum ini ujar Khairul Dzaimee, dianggarkan seramai 1,376 penumpang akan melalui kaunter pemeriksaan imigresen di dua terminal itu dalam setiap jam ketika waktu puncak. Senario berkenaan kata beliau, turut disumbangkan faktor ketibaan banyak penerbangan sehingga mencecah 27 pesawat mendarat sepanjang waktu puncak selama empat jam

“Pada masa itu pula, pesawat akan silih berganti tiba selang lima hingga 10 minit dan ada banyak kaunter pemeriksaan yang didapati tidak beroperasi secara optimum,” tambahnya.

Barisan beratur penumpang asing juga jelasnya, akan bertambah panjang kerana pihak JIM turut melakukan pemeriksaan ketat pelawat luar dari negara berisiko tinggi Covid-19. Justeru beliau yakin apabila QRT dikerahkan mulai hari ini dengan kesemua 26 kaunter imigresen dibuka, seramai 13 orang dapat dilepaskan serentak dalam tempoh satu minit.

Khairul Dzaimee turut memberi jaminan bahawa langkah berkenaan tidak menjejaskan operasi lain JIM terutama pasukan penguatkuasaan yang masih bergerak seperti biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya