Pulau Pinang sedia beri taklimat projek tambak kepada G25 - Utusan Malaysia

Pulau Pinang sedia beri taklimat projek tambak kepada G25

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika mencuba aplikasi Perk Reality semasa merasmikan Taman ARmenian, di George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mengadakan taklimat atau sesi libat urus bersama Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25) berhubung pelaksanaan projek tambak laut Penang South Island (PSI) di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia bagi membantu pihak terbabit memahami cadangan dan perancangan yang sudah diatur untuk mengurangkan kesan berkaitan ekologi dan alam sekitar apabila projek itu dilaksanakan kelak.

Dalam masa sama, beliau mengulangi pendirian kerajaan negeri yang akan meneruskan pelaksanaan projek PSI di sebalik bantahan daripada beberapa pihak.

Jelasnya, tentangan dan bantahan itu bukan sesuatu yang baharu, namun kerajaan negeri bersedia memberikan penerangan kepada mana-mana pihak yang ingin mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam berhubung projek terbabit.

“Ramai yang akan membantah tanpa mengetahui secara menyeluruh mengenai maklumat dan proses permohonan yang kerajaan negeri harus lalui menerusi pelbagai agensi teknikal untuk memperolehi kelulusan (tambak laut),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman ARmenian, di sini hari ini.

Semalam, Kumpulan G25 menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan PSI yang dahulunya dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) kerana bertentangan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk menjadi sebuah negara mampan menjelang 2030.

G25 dalam kenyataannya mendakwa, projek PSI bukan sahaja akan menjejaskan pantai Pulau Pinang malah turut melibatkan perairan Kedah dan Perak.

Kerja-kerja penambakan itu akan menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar sekaligus memusnahkan ekosistem dan biodiversiti laut.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri turut meneruskan keterlibatan bersama pihak berkepentingan (stake holders) dan menyalurkan maklumat terkini berhubung projek terbabit kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Ini adalah kerana projek terbabit melibatkan pengeluaran makanan laut di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya