PN Perlis nafi upah ‘Tiktoker’, orang muda sudah pandai menilai

PN Perlis nafi upah ‘Tiktoker’, orang muda sudah pandai menilai – MB Perlis

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man bahawa gabungan berkenaan telah menggunakan golongan muda melalui aplikasi Tik Tok semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memfitnah kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya dalam aspek pembangunan.

Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, golongan muda sudah pandai menilai dalam membuat pilihan dan tidak perlu menggunakan fitnah atau pembohongan dalam meraih undi pada pilihan raya lalu.

Dalam masa sama, Mohd. Shukri yang juga Menteri Besar berkata, seingat beliau, PN langsung tidak menyentuh soal pembangunan dalam kempen pilihan raya dan berulang kali menegaskan akan meneruskan projek-projek pembangunan yang ada jika memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Kita tidak guna golongan muda (Tiktoker), mereka sendiri yang mempunyai kesedaran dalam membuat pilihan. Sekarang orang-orang muda ini sudah bijak membuat keputusan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Azlan dalam hantaran di Facebooknya mendakwa PN negeri telah menggunakan golongan muda melalui aplikasi Tik Tok semasa kempen PRU15 lalu untuk berbohong, memfitnah dan memburuk-burukkan kerajaan BN sebelum itu.

Azlan berkata, salah satunya ialah menggunakan dua orang pemuda berasal dari Perlis untuk memfitnah dan berbohong bahawa tiada pembangunan yang dibawa oleh BN sejak 2013 hingga 2022 termasuk fitnah dan pembohongan mereka mengenai pembangunan di Padang Besar, Perlis.

Kata Azlan, pemuda berkenaan mendakwa tiada satu pun pembangunan yang berlaku di Padang Besar sepanjang tempoh tersebut.

“Tiada pembangunan pelancongan, perindustrian, pertanian dan macam-macam lagi. Rakyat Perlis ramai terpesona dengan fitnah dan pembohongan mereka.

“Jadi, saya nak tanya kerajaan PN sekarang bagaimana dengan fitnah dan pembohongan melalui Tik Tok semasa kempen PRU-15 dulu? Buktikan bahawa ini bukan fitnah dan pembohongan,” kata Azlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Dalam sidang akhbar pertama selepas membentuk kerajaan negeri baharu sebelum ini, Mohd. Shukri dilaporkan berkata, kerajaan PN akan meneruskan projek-projek pembangunan yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu di Perlis demi manfaat rakyat di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya