PM: Pelajar IPT bebas bersuara

PM: Pelajar IPT bebas bersuara

Anwar Ibrahim beramah mesra dengan salah seorang penerima sumbangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Pelajar Antarabangsa Abu Sulayman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak semalam. Turut hadir Presiden Sterling Management Group, Inc, Virginia AS, Dr. Yacub Mirza (dua dari kanan) dan Rektor UIAM, Prof. Tan Sri Dr. Datuk Dzulkifli Abdul Razak (kiri). – MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelajar universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) diberi kebebasan sepenuhnya untuk bersuara termasuk mengkritik Perdana Menteri dan kerajaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua universiti dan IPT diarahkan memberi kebebasan itu kepada pelajar kecuali jika ia membabitkan sensitiviti kaum dan agama serta pandangan melampau yang boleh mengancam keharmonian negara.

Langkah itu katanya, supaya universiti dan IPT di negara ini dapat memberi ruang kepada pelajar untuk berfikiran kreatif dan berminda kritikal.

Katanya, hasrat itu telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Buka ruang terutama kepada institusi pendidikan tinggi dan universiti supaya lebih segar untuk pelajar memberi pandangan.

“Melainkan hal-hal yang mencerca ataupun perkauman atau pandangan yang melampau. Yang lain-lain dibebaskan termasuk teguran dan kritikan terhadap Perdana Menteri atau kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), semalam.

Beliau hadir pada majlis penyampaian dana tambahan bernilai RM1.29 juta daripada keluarga bekas rektor UIAM, Allahyarham Prof. Emeritus Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman untuk disumbangkan kepada Tabung Pelajar Antarabangsa Abu Sulayman (AISF) bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.

Anwar ketika menyampaikan ucapan menyifatkan, universiti dan IPT negara gagal memberikan ruang kepada pelajar untuk berfikiran kreatif dan berminda kritikal.

“Tinggalkan cara lama yang lapuk institusi pendidikan dan menggalakkan pelajar menggunakan hak mereka untuk menjadi kritikal.

“Dengan syarat ia tidak digunakan untuk mengkritik perkara remeh melalui TikTok. Kritikan mestilah melalui wacana akal, kena tambah kefahaman, kena belajar…lihat kritikan lain sebelum mengkritik dan perbaiki kritikan kita,” katanya.

Namun, katanya, universiti dan institusi pendidikan tinggi tidak boleh membiarkan jika ada pelajar yang menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan memainkan isu perkauman dan agama.

“Kamu boleh menjadi kritikal, tetapi kamu tidak boleh mengisytiharkan siapa Islam siapa bukan, siapa yang supreme, siapa yang masuk penjara, siapa yang masuk syurga atau neraka…ini telah menjadi naratif di negara ini.

“Jika kritikan itu kuat dan menarik, universiti mesti membenarkannya jika ia berdasarkan fakta dan alasan yang munasabah,” katanya.

Sementara itu, Anwar menyerahkan kepada pihak berkuasa menyiasat isu dakwaan pemberian tender oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada menantunya.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, isu tersebut tidak akan tersebar jika tiada kebenarannya.

Malah ia perlu dijadikan peringatan kepada mana-mana menteri untuk tidak menggunakan kedudukan bagi mengayakan kroni demi kepentingan individu.

“Jahat tidak jahat tunggu laporanlah. Saya tidak fikir hal ini dihebahkan begitu rupa kalau tidak benar, ada kebenarannya. Sejauh mana dia terbabit, saya tidak tahu, itu siasatan perlu dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN