PKR diharap tidak terima Zahidi, henti terima ‘tong sampah’ sebagai ahli - Utusan Malaysia

PKR diharap tidak terima Zahidi, henti terima ‘tong sampah’ sebagai ahli

ASRUL Nizan Abd Jalil bercakap kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Bersama Media di Jamiran’s Cafe, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kepemimpinan tertinggi PKR perlu meneliti sebelum membuat keputusan menerima penyertaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai ahli parti itu.

Langkah tersebut adalah bertujuan bagi menggelakkan PKR menerima pemimpin dalam kategori ‘tong sampah’ sebagai ahli dan mengganggu hubungan antara parti-parti yang menyokong kerajaan Perpaduan.

Naib Pengerusi PKR negeri, Asrul Nizan Abd Jalil berkata, pergerakan di peringkat akar umbi sememangnya gusar sekiranya parti itu terpaksa menanggung ‘biawak hidup’ apabila menerima kemasukan pemimpin lawan untuk menjadi ahli mereka.

“Sebagai sebuah parti membawa agenda reformasi, kita amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai PKR khususnya untuk menjayakan agenda Malaysia Madani namun kita dah ada pengalaman sebelum ini di mana adanya pemimpin yang tergolong dalam kategori ‘tong sampah’.

“Berapa ramai dah pemimpin lawan yang kononnya tokoh dari parti tertentu masuk ke PKR dan diangkat sehingga mendapat jawatan namun akhirnya mereka khianat dengan menikam kita balik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Bersama Media di Jamiran’s Cafe, di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai kesediaan bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu untuk menyertai PKR bagi membantu menguatkan parti itu di negeri ini.

Zahidi yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar memaklumkan beliau bersama 100 ahli lain akan menyerahkan borang keahlian PKR kepada Ketua Cabang PKR kawasan itu, esok.

Dalam pada itu, Asrul berkata, pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi pastinya akan berkecil hati sekiranya Zahidi masih diterima sebagai ahli PKR dan langkah itu bakal mencederakan parti berkenaan.

“Zahidi merupakan bekas pemimpin UMNO dan sekiranya beliau diterima maka pastinya langkah itu akan menjejaskan hubungan dalam kerajaan Perpaduan sehingga memberi kesan di peringkat nasional,” katanya.

Asrul yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena berkata, beliau berkeyakinan Majlis Pimpinan PKR Pusat di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membuat penilaian dan keputusan dengan sebaiknya berhubung penyertaan Zahidi bersama parti itu.

Tambah beliau, aspek pengukuhan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat akar umbi perlu diambil kira menerusi penyertaan Zahidi itu dalam memastikan keharmonian antara setiap parti gabungan itu terpelihara.

“Pastinya sukar untuk meneruskan hubungan kerjasama sekiranya PKR tidak mengambil kira sensitiviti dengan menerima pemimpin yang telah mengkhianati partinya sebelum ini,” katanya.

Zahidi dipecat keanggotaan UMNO pada November lepas selepas bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setelah digugurkan oleh parti itu.

Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi Padang Besar apabila hanya memperoleh 1,939 undi dan kehilangan deposit dalam pertembungan lima penjuru yang dimenangi oleh Rushdan Rusmi daripada Perikatan Nasional (PN).-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN