Pindaan kerakyatan anak lahir di luar negara beri impak aspek kewarganegaraan - Utusan Malaysia

Pindaan kerakyatan anak lahir di luar negara beri impak aspek kewarganegaraan

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tiga dari kiri) merasmikan Program KDN Madani di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mendapat kerakyatan negara ini mampu memberi impak besar kepada aspek kewarganegaraan bagi kategori tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini, pihaknya menerima banyak permohonan berhubung isu kerakyatan yang melibatkan golongan itu.

Menurutnya, menerusi pindaan itu, ia sekali gus menyamakan kedudukan ibu dan bapa untuk mempunyai hak yang sama berbanding sebelum ini yang melibatkan bapa sahaja.

“Permohonan dalam kategori ini memang ada. Oleh itu, pindaan ini akan melalui proses seterusnya sekali gus memberi impak besar kepada beberapa komponen yang ada di Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program KDN Madani di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang di sini hari ini.

Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri semalam bersetuju dengan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kewarganegaraan melalui penguatkuasaan undang-undang kepada anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Perkara itu dimaklumkan Saifuddin Nasution dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi satu kenyataan bersama hari ini.

“Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’ bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun pindaan yang lain berkaitan kewarganegaraan terutamanya Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah KDN,” katanya.

Menurut kenyataan itu, ia akan dibentang kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan itu dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya