KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) tidak melihat pimpinan baharu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang kini diketuai Datuk Seri Hajiji Noor akan menggugat kedudukan parti lain di Sabah.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, negara ini mengamalkan sistem demokrasi maka, pembentukan parti baharu harus dihormati, begitu juga dengan Gagasan Rakyat yang kini beralih kepimpinan.
“Persoalan sama ada mereka (Gagasan Rakyat) menggugat Warisan atau mereka tergugat oleh Warisan, hanya akan ditentukan oleh rakyat kerana rakyat yang akan memilih apabila tiba masa pilihan raya.
“Namun, ini bukan tentang siapa menggugat siapa kerana politik sangat dinamik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, pada masa ini biarkan rakyat melihat apa yang boleh dilakukan oleh Gagasan Rakyat untuk Sabah dan rakyat di negeri ini.
“Bagi Warisan, kita akan memainkan peranan sebagai pembangkang untuk melakukan semak dan imbang.
“Kita akan memastikan kerajaan berlaku adil dalam melaksanakan janji dan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat di Sabah,” katanya.
Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan barisan pimpinan Gagasan Rakyat yang baharu yang turut memperlihatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan, Datuk Hassan A. Gani Pg Amir sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut.
Gagasan Rakyat dianggotai oleh bekas-bekas ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang mengumumkan keluar daripada Bersatu pada 10 Disember tahun lalu. – UTUSAN










