PH Terengganu selar Khairil Nizam keluar kenyataan mengelirukan - Utusan Malaysia

PH Terengganu selar Khairil Nizam keluar kenyataan mengelirukan

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyelar tindakan Ketua Penerangan Pas Pusat, Ir. Khairil Nizam Khirudin yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu, Jumaat lalu.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kenyataan itu menyebut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa  ‘mengesahkan’ acara perarakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam itu  mematuhi syarat ditetapkan.

“Adakah Pas cuba mendahului keputusan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang baru sahaja dijalankan untuk mengelirukan rakyat.

“Adakah beliau mempunyai hak atau autoriti mengeluarkan kenyataan bagi pihak Ketua Polis  Terengganu seolah-olah menunjukkan insiden tersebut tiada apa-apa kesalahan dan bebas dari segala cacat celanya?

“Kenyataan tersebut menyatakan kononnya pihak PDRM ‘mengesahkan’ perarakan tersebut adalah hanya acara ‘pertandingan’ sahaja.

“Adakah tujuan kenyataan tersebut  kononnya menyampaikan gambaran hubungan rapat Pas Terengganu dengan pihak PDRM Terengganu dan segala kelulusan, peraturan serta permit telah diluluskan?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar beberapa orang lelaki membawa objek berbentuk senjata iaitu tombak dan perisai sambil berarak pada satu program anjuran sebuah parti politik di Setiu.

Selain itu, sebilah pedang besar turut berada di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai bagi acara konvoi perarakan yang sama pada program tersebut.

Sehubungan itu, Raja Kamarul Bahrin menambah, PH menggesa Pas supaya menunggu hasil siasatan PDRM dan jangan cuba mengelirukan rakyat.

“Sebagai parti Islam, Pas seharusnya akur hakikat  yang tiada pihak boleh mengatasi undang-undang serta hukum dunia dan  akhirat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.