ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) Kedah akan menunggu format pengagihan kerusi yang mungkin diputuskan pada pertemuan Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 19 Mac ini sebelum meneruskan rundingan secara rasmi bersama Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika ini hanya beberapa perbincangan tidak rasmi diadakan bersama BN termasuk bertemu Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pimpinan lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kita nak tunggu pertemuan 19 Mac ini. Apakah bentuk format yang akan digariskan oleh sekretariat di peringkat nasional untuk menentukan bagaimana pengagihan kerusi yang akan dibuat.
“Jadi (keputusannya nanti) kita akan laksanakan di peringkat negeri supaya proses pengagihan itu boleh dibuat seperti mana sekretariat tentukan di peringkat nasional,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, hari ini.
Menurut Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah, asas pembahagian sudah ada iaitu semua pihak yang berada dalam kerajaan Perpaduan perlu menerima hakikat bahawa kerusi yang dimenangi mana-mana parti akan terus menjadi hak mereka untuk bertanding.
Katanya, amalan pembahagian tersebut sudah biasa diamalkan dalam PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah, namun situasinya mungkin berbeza apabila melibatkan BN yang kini sebagai rakan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan.
“Kerusi dimenangi BN akan terus dipertahankan mereka, kemudian kerusi yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika bersama PH akan kekal milik PH seperti diumum Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mereka menang atas PH.
“Namun saya percaya bahawa akan ada penyelesaian pada 19 Mac nanti. Bagaimana format untuk kerusi itu, tetapi pendiriannya begitulah dan saya percaya mungkin akan ada sedikit kelonggaran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mahfuz percaya pemilihan UMNO nanti akan lebih memantapkan jentera pilihan raya bersama antara PH dan BN untuk berdepan PRN kerana ahli-ahli UMNO sendiri sudah pasti mahu memastikan supaya kerajaan Perpaduan terus mantap.
“UMNO-BN kini sebahagian daripada kerajaan Perpaduan yang mesti diperkukuhkan, saya tak nampak ia akan memberi kesan yang negatif tetapi sebaliknya kesan yang lebih positif untuk pilihan raya khususnya di negeri ini.
Sementara itu, Mahfuz menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meletak jawatan susulan kenyataan yang dilihat mempersenda agama Islam apabila mengaitkan perbuatan melontar jamrah ketika ibadah haji dengan pilihan rakyat pada PRN akan datang yang disifatkan melampau.
Beliau sehubungan itu meminta pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara terutama di Kedah mengambil tindakan segera terhadap kenyataan berbentuk ‘takrifi’ selain’ fatwa-fatwa politik’ yang didakwanya sebagai sesat kerana memberi gambaran tidak baik kepada agama Islam, selain mencemarkan Institusi Diraja sebagai ketua agama Islam.
“Saya minta pihak berkuasa agama harus bertegas dalam soal fatwa yang sangat tidak wajar ini, khususnya fatwa Menteri Besar yang kata orang BN yang pergi ke Mekah melontar syaitan tetapi (apabila) balik berkawan dengan syaitan. Ini amat biadab,” katanya.
Minggu lalu, menerusi satu video yang tular di aplikasi media sosial, Muhammad Sanusi menyatakan pengundi BN yang menunaikan haji pulang ke tanah air bagi mengundi kumpulan yang didakwanya sebagai ‘syaitan’ di dalam PRN akan datang.–UTUSAN










