PETALING JAYA: Penerbit dan pengasas, Enfiniti Productions (M) Sdn Bhd, Puan Sri Tiara Jaquelina belum terfikir untuk mementaskan semula teater Puteri Gunung Ledang (PGL) yang dibatalkan tahun lalu.
Jelas Tiara, sebagai sebuah entiti, syarikatnya mahu berevolusi dan meneroka sektor baharu seiring dengan perkembangan teknologi dan keterbukaan peluang dalam pelbagai industri.
“Setakat ini, mungkin tidak buat masa sekarang. Tetapi kita tidak tahu, mungkin esok saya bangun tidur dan tiba-tiba mahu mementaskan semula PGL.
“Tetapi, saya tidak boleh menjanjikan apa-apa. Saya juga mahu mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang berbeza.
“Kami sebagai sebuah syarikat mahu berelovusi. Kami sudah buat pelbagai teater seperti P. Ramlee The Musical, Ola Bola dan tentunya, Puteri Gunung Ledang,” katanya.
Tiara berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan projek terbaharunya, Dream Forest Langkawi yang bakal dibuka Mei depan.
Dream Forest merupakan destinasi percutian berasaskan teknologi Realiti Terimbuh (AR) membawa pengunjung menelusuri hutan dan disajikan dengan penceritaan kisah legenda Langkawi menggunakan projection mapping.
Bercakap tentang Dream Forest, Tiara berkata, dia mengambil masa empat tahun untuk merangka projek tersebut dengan mengambil kira pelbagai aspek melibatkan pelancongan.
“Dalam tempoh itu, kami banyak kali mengubah pelan asal disebabkan pelbagai faktor antaranya pandemik.
“Projek ini menelan belanja RM20 juta dan menariknya, keseluruhan kru yang terlibat merupakan warga tempatan.
“Bagi saya, ini adalah evolusi perjalanan saya. Saya bermula sebagai duta kebudayaan dan kemudian bergiat dalam dunia seni,” katanya.