PETALING JAYA: Satu kumpulan terdiri daripada petugas perubatannya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dihantar untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi di Turkiye, malam tadi.
ATM menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan, kumpulan kedua yang terdiri seramai 34 pegawai dan anggota perubatan dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM menaiki pesawat komersial bagi melaksanakan ‘Op Starlight’ di negara berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kumpulan berkenaan akan bersama kumpulan pertama yang berlepas ke Turkiye pada awal pagi semalam bagi menubuhkan Hospital Medan Malaysia (HMM) di Adiyaman utuk bantuan kemanusiaan berkenaan.
“Turut bersama dalam penerbangan itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh,” kata hantaran itu.
Menurutnya, Duta Besar Turki di Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Emir Salim Yuksel turut hadir di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memberi sokongan kepada kumpulan kedua berkenaan.
Terdahulu, ATM menghantar 106 anggota perubatan, termasuk 14 pakar pelbagai bidang serta 12 doktor, untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi di Turkiye.
Pasukan perubatan itu berlepas ke Turkiye secara berperingkat membabitkan 36 orang pada pagi semalam, diikuti kumpulan kedua seramai 34 orang dan selebihnya dijangkakan hari ini.
Antaranya ialah pakar pembedahan am dan pakar ortopedik, selain mengambil kira kemudahan pakar perbidanan dan sakit puan serta kanak-kanak yang amat diperlukan di kawasan kejadian ketika ini.
Anggota perubatan yang dihantar itu adalah berdasarkan kebarangkalian kecederaan dialami mangsa gempa bumi di negara berkenaan. – UTUSAN