IPOH: Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan Anwar membenarkan amalan lesbian, gay biseksual dan transgander (LGBT) dalam ceramah semasa kempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Permohonan maaf itu dibuat di Mahkamah Tinggi Taiping hari ini sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar terhadapnya.
Dalam permohonan maaf secara tidak bersyarat, Razman berkata, ucapannya dalam ceramah ketika kempen PRU15 telah menyinggung perasaan dan memfitnah Anwar.

Sementara itu Peguam Anwar, Datuk Sankara Nair yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, anak guamnya bersetuju dengan penyelesaian itu sebagai tanda muhibah dan membiarkan perkara itu selesai demi kepentingan semua pihak.
Saman terhadap Razman difailkan pada 5 Disember lalu berhubung dakwaan Pesuruhjaya Pas itu dalam ucapannya ketika kempen PRU15, Anwar akan mempromosikan agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis, jika menjadi Perdana Menteri.
Pada PRU15, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, menang di Parlimen Tambun mengalahkan penyandang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Razman merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol dan Ketua Pembangkang di Perak.
Anwar menuntut ganti rugi RM5 juta dan injunksi untuk menghalang Razman daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah terhadapnya. – UTUSAN










