Pesawat FA-50 paling sesuai dengan keperluan Malaysia

Pesawat FA-50 paling sesuai dengan keperluan Malaysia

PESAWAT tempur ringan jenis FA-50 buatan Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mengesahkan bahawa Malaysia sudah memeterai perjanjian dengan Korea Aerospace Industries Co. (KAI) bagi pembelian 18 pesawat tempur ringan jenis FA-50, Jumaat lalu.

Adly berkata, aset pertahanan udara dengan perolehan bernilai RM4.08 bilion itu dipilih bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana ia dilihat lebih bersesuaian dengan keperluan semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berbanding pesaingnya iaitu jet Tejas dari India, JF-17 (Pakistan), MIG-35 (Russia) dan Hurizet (Turki).

Katanya, pemilihan FA-50 yang dijangka diterima bermula 2026 itu juga diputuskan berdasarkan Kertas Putih Pertahanan dan dasar pertahanan negara.

“Hari Jumaat, kita tandatangan memorandum perjanjian (MoA) pembelian kepada 18 unit FA-50 dari Korea Selatan. Dengan pembelian ini secara tidak langsung penghantarannya paling awal tahun 2026. Jadi dalam tempoh dua tahun ini, kita akan dapat pesawat baharu 18 unit.

“Kita di Kementerian Pertahanan memang komitmen Menteri sendiri, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) selalu ingatkan bahawa pastikan proses itu dibuat sesuai dengan kehendak pengguna akhir. Dalam masa yang sama proses perolehan itu bersesuaian juga dengan dasar pertahanan negara kita, juga dengan Kertas Putih Pertahanan.

“Semua (pengeluar) ada pelbagai tawaran dan sebagainya. Semua faktor ini telah kita ambil kira dalam membuat sebarang keputusan di peringkat kementerian. Dan saya fikir yang paling penting adalah pertahanan negara kita dapat dijaga, kedaulatannya boleh dipertahankan, dalam masa sama keyakinan kita bahawa aset-aset ini dapat dimiliki dalam tempoh ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah di Durian Tunggal di sini, hari ini.

ADLY Zahari memukul gong sebagai simbolik Majlis Pelancaran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Sebelum ini, agensi berita Yonhap dalam kenyataan melaporkan, KAI memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan untuk mengeksport 18 pesawat FA-50.

KAI iaitu pengeluar tunggal pesawat dari Korea Selatan memenangi perjanjian bernilai AS$920 juta bersamaan RM4.08 bilion dan proses penghantaran aset tersebut dijangka bermula pada 2026.

Mengulas berkenaan Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adly berkata, peruntukan besar sebanyak RM500 juta berbanding hanya RM90 juta sebelum ini untuk penyelenggaraan Rumah Angkatan Tentera mampu menyelesaikan masalah perumahan yang dihadapi sekian lama oleh warga ATM.

“Saya fikir jumlah itu memang selama ini yang kita tunggu-tunggu kerana penyelenggaraan rumah ATM menjadi isu yang bertahun-tahun tidak selesai,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya