Peruntukan Ahli Parlimen bukan untuk kegunaan peribadi - Utusan Malaysia

Peruntukan Ahli Parlimen bukan untuk kegunaan peribadi

WAN SAIFUL WAN JAN dan SITI MASTURA MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen sewajarnya disalurkan sama rata bagi memastikan perancangan pembangunan setempat dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, peruntukan itu bukan untuk kegunaan peribadi, sebaliknya diperlukan bagi memajukan kawasan yang memerlukan.

“Kalau kita amati ayat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya berpandangan wujudnya diskriminasi pembahagian peruntukan kepada Ahli Parlimen bersama kerajaan dan mereka yang daripada Perikatan Nasional (PN).

“Kita faham parti dalam kerajaan sentiasa cuba untuk memastikan pesaing politik mereka dapat dilemahkan, tetapi seboleh-bolehnya janganlah sampai kesan negatifnya terpalit kepada rakyat.

“Dana pembangunan bukan untuk kami, tetapi untuk membantu rakyat setempat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau bersama-sama Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad ditemui selepas menerima memorandum permohonan kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) yang disampaikan Pengerusi Koperasi Nelayan Sungai Korok dan Air Hitam, Mohd. Said Abdullah.

Sementara itu, Siti Mastura berpandangan, peranan Ahli Parlimen melibatkan rakyat secara keseluruhannya dan sudah sewajarnya bantuan disalurkan tanpa memilih ‘kroni’.

“Kita di peringkat pembangkang mahukan hak dan keadilan kita, apatah lagi manifesto yang diperjuangkan PN menekankan keadilan dan kesaksamaan.

“Jadi, apa yang dijanjikan perlu dibuktikan dengan baik sebab kita bukan guna peruntukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya semuanya untuk rakyat.

“Kalau dapat banyak (peruntukan), kita dapat berikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Kelmarin, Anwar mengumumkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara.

Sebelum ini, media melaporkan, peruntukan kawasan untuk Ahli Parlimen penyokong kerajaan (back-bencher) untuk tahun ini dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.