Pertimbang semula peruntukan MP - Nanta Linggi

Pertimbang semula peruntukan MP – Nanta Linggi

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui terkejut dengan peruntukan pembangunan untuk ahli Parlimen yang dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Katanya, walaupun memahami dasar tindakan ini terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara, keputusan tersebut seharusnya mengambil kira keperluan penduduk dan kawasan yang pelbagai, terutamanya di kawasan pedalaman.

“Sebagai ahli Parlimen Kapit, kawasan yang berada jauh di pedalaman dengan cabaran geografi dan luas kawasan menyamai keluasan Pahang di Semenanjung Malaysia, tentulah peruntukan ini tidak mencukupi dan akan memberi cabaran yang lebih besar kepada saya dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan yang amat diperlukan oleh rakyat.

“Kebanyakan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Sarawak juga berada jauh di pedalaman yang tentunya amat bergantung kepada peruntukan ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, peruntukan sebelum ini banyak membantu ahli Parlimen untuk membantu penduduk secara lebih efisien dengan bantuan dapat disalurkan secara langsung dan pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah dan jabatan kerajaan.

“Peruntukan ini yang disalurkan ke pusat khidmat juga menjadi one-stop centre bagi disalurkan kepada penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan dengan kadar segera.

“Tidak terhad kepada penduduk di kawasan pedalaman, peruntukan seumpama ini juga besar manfaatnya kepada penduduk bandar dan pinggir bandar. Bukan sahaja golongan B40 dan ke bawah, malah golongan M40 yang turut terjejas akibat kelembapan ekonomi dan bergantung kepada bantuan daripada wakil rakyat juga dapat dibantu melalui peruntukan ini,” katanya.

Justeru, beliau menganggap pengurangan kadar peruntukan ini akan menjejaskan kualiti khidmat dan bantuan kerajaan yang dapat disalurkan oleh wakil rakyat dan mahu langkah lebih proaktif bagi menangani kekangan ini.

“Meskipun saya merasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan dipertingkatkan oleh kerajaan dari masa ke semasa. Ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk memastikan rakyat dapat dibantu dengan sebaiknya selari dengan hasrat Malaysia Madani,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.