PETALING JAYA: Seorang bekas pekerja kilang, Mohd. Azri Ibrahim yang mendakwa permohonannya untuk memperoleh pencen ilat ditolak sebanyak enam kali dengan alasan faktor usianya masih muda sebenarnya sudah mendapat bantuan sebanyak RM172,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Izad Raya berkata, berikutan laporan Utusan Malaysia mengenai Mohd Azri yang mendakwa permohonan Pencen Ilat beliau ditolak, Perkeso telah menyemak kes berkenaan.
Katanya, hasil semekan itu mendapati Mohd Azri pernah membuat beberapa permohonan tuntutan faedah berikutan kecederaan yang dialaminya dalam satu kemalangan.
“Beliau membuat permohonan tuntutan faedah kali pertama setelah mengalami kecederaan lumbar tulang belakang L4 dan L5 selepas kemalangan pada April 2017.
“PERKESO telah meluluskan bayaran Hilang Upaya Sementara (HUS) untuk cuti sakit selama dua puluh (20) hari sebanyak RM1,475.56 pada bulan Mei tahun yang sama.
“Mohd Azri turut membuat permohonan faedah berkaitan Bencana Pekerjaan berhubung kecederaan yang dialami akibat kemalangan tersebut. Penilaian PERKESO mengesahkan beliau mengalami kecederaan L4/L5, L5S1 Lumber Disc with Radiculopathy dan telah meluluskan faedah HUS sebanyak RM34,242.48 pada Ogos2017.
“Pada September 2019, Mohd Azri membuat permohonan faedah kali ketiga berkaitan kemalangan tersebut dan beliau disahkan mengalami Bencana Pekerjaan dengan kecederaan sakit belakang L4/L5, L5S1 Lumber Disc with Radiculopathy pada bulan Mei 2021. Pihak PERKESO telah membuat pembayaran RM39,480.02 bagi bilangan cuti sakit sebanyak 378 hari.
“Pada Ogos 2022, beliau sekali lagi memohon faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) dengan kecederaan yang sama iaitu sakit belakang L4/L5, L5S1 Lumber Disc with Radiculopathy. Sehubungan itu, Jemaah Doktor (JD) meluluskan permohonan tersebut dan PERKESO membuat bayaran pembayaran faedah HUK sebanyak RM95,025.78 pada September 2022.
“Sebelum itu, Mohd Azri pada bulan November 2021 telah membuat permohonan Pencen Ilat bagi kecederaan sakit belakang yang sama, namun Jemaah Doktor (JD) pada Disember 2021 telah mengesahkan beliau tidak ilat.
“Beliau kemudiannya membuat permohonan rayuan bagi Pencen Ilat pada Disember 2021 dan penilaian Jemaah Doktor Rayuan (JDR) juga mendapati beliau tidak mengalami ilat. Pada Oktober 2022, beliau sekali lagi mengemukakan permohonan Pencen Ilat baru buat kali kedua bagi kecederaan sakit belakang L4/L5, L5S1 Lumber Disc with Radiculopathy dan penyakit Diabetes Mellitus serta Hyperthyroid. JD pada bulan Disember 2022 telah mengesahkan beliau tidak ilat.
“Mohd Azri kemudiannya mengemukakan rayuan bagi permohonan Pencen Ilat kedua tersebut pada November 2022 dan penilaian JDR mendapati menunjukkan beliau tidak ilat,” jelas Izad.
Walau bagaimanapun, kata Izad, secara keseluruhannya, PERKESO telah membayar faedah berbentuk kewangan sebanyak RM170,223.84 kepada Mohd Azri bagi faedah Hilang Upaya Sementara dan Hilang Upaya Kekal.
“Untuk makluman, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) menyatakan bahawa seseorang berinsurans hendaklah dianggap sebagai menghidap keilatan, jika, oleh sebab sesuatu keadaan uzur tertentu yang berkekalan, tidak berupaya mengambil bahagian dalam apa-apa kegiatan yang mendatangkan pendapatan.
” Menurut Seksyen 16 Akta 4, sesuatu keadaan uzur hendaklah disifatkan sebagai berkekalan jika keuzuran itu sama ada tidak boleh diubati atau tidak mungkin boleh diubati. Keputusan berkenaan permohonan faedah PERKESO bergantung kepada pertimbangan yang dibuat oleh JD dan JDR.
“Panel JD dan JDR adalah adalah panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar perubatan yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelasnya.
Katanya, PERKESO ingin menegaskan bahawa keputusan terhadap permohonan Pencen Ilat adalah sepertimana yang telah ditetapkan dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.
PERKESO katanya, sentiasa prihatin terhadap kes seperti ini dan sedia berusaha untuk membantu pengadu mendapatkan bantuan-bantuan lain. – UTUSAN









