KOTA KINABALU: Persidangan Parlimen akan datang memperlihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai masa selama 30 minit pada setiap Selasa untuk menjawab soalan-soalan ahli Parlimen.
Itu antara pembaharuan yang dilakukan dalam persidangan Parlimen yang akan berlangsung pada 13 Februari hingga 30 Mac depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh Kabinet Persekutuan untuk memberi ruang kepada Perdana Menteri menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen bermula daripada pukul 10 hingga 10.30 pagi, setiap Selasa.
Pada setiap hari Khamis pula, bermula daripada 10 hingga 10.30 pagi selama 30 minit adalah masa untuk menteri menjawab persoalan dikemukakan ahli-ahli Parlimen.
“Kita melihat ini sebagai satu penambahbaikan untuk menzahirkan keterbukaan, ketelusan dan juga semangat menjunjung demokrasi yang begittu baik.Ini melibatkan komitmen Perdana Menteri sendiri bahawa setiap minggu pada hari Selasa, beliau akan hadir bagi PMQT (Prime Minister question time), bermula Selasa akan datang.
“Ini antara penambahbaikan yang kita laksanakan. Ia sebenaranya sudah wujud dalam peraturan tetap namun, tidak dilaksanakan sedemikian,” katanya selepas lawatan ke loji rawatan air Kogopon, Papar hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sebagai menteri bertanggungjawab dalam urusan Parlimen, beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said diamanahkan untuk melihat urusan perjalanan aturan mesyuarat di Parlimen.
Dalam pada itu, Armizan berkata, sebagai menteri bertanggungjawab memantau penghantaran pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke Turkiye dan Syria, beliau tidak melihat ada keperluan untuk menghantar pasukan SAR tambahan.
Setakat ini, cukup dengan dua pasukan SAR yang mempunyai keanggotaan seramai 140 orang dihantar ke Turkiye kerana sudah banyak pasukan SAR dari negara-negara lain turut dihantar ke negara terjejas gempa bumi itu..-UTUSAN










