KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan perbicaraan kes saman fitnah Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung tindakan beliau mempersoal asal usul bekas Perdana Menteri itu, bermula 11 September ini.
Dr. Mahathir, 97, yang juga bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Haidir & Co di Mahkamah Tinggi pada 20 Julai 2022 dengan menamakan Ahmad Zahid, 70, yang juga Presiden UMNO sebagai defendan.
Menurut peguam bela Dr. Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff menetapkan tarikh perbicaraan selama empat hari semasa sesi pengurusan kes saman itu hari ini.
“Mahkamah menetapkan tarikh akhir bagi pengurusan kes secara sidang video menerusi aplikasi Zoom pada jam 9 pagi, 14 Julai ini, bagi mengemas kini perkembangan terkini jika ada terhadap kes ini.
“Kes ini juga ditetapkan untuk bicara penuh pada jam 9 pagi pada 11 hingga 14 September di depan hakim sama. Dr. Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz akan dipanggil sebagai saksi plaintif,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Dr. Mahathir mendakwa, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan menfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 yang kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi perdana menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecil rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.
Dr. Mahathir menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan selain memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejen-ejennya memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah itu selain memohon perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat secara lisan dan bertulis terhadap plaintif, kos dan relif lain yang sesuai.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lalu menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum. – UTUSAN