Perbicaraan Ebit Lew ditangguh

Perbicaraan Ebit Lew ditangguh

EBIT LEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew,37, di Mahkamah Majistret hari ini ditangguhkan.

Penangguhan itu dilakukan bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan penghujahan ringkas (skeletal submission) bagi menggunakan 90 gambar berunsur lucah sebagai bahan bukti.

Peguam bela yang mewakili Ebit, Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut akan memfailkan penghujahan ringkas pembelaan kepada mahkamah pada pukul 4.30 petang ini.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan menggunakan pemacu kilat yang mengandungi 90 gambar berunsur lucah sebagai bahan bukti.

Kandungan pemacu kilat itu akan diterangkan oleh saksi pendakwaan seterusnya iaitu Pegawai Penganalisis Forensik, Inspektor Yip Chang Ching.

Walau bagaimanapun, Ram memohon kepada mahkamah agar masa diberikan kepada pihak pembelaan untuk melihat kandungan yang terdapat dalam pemacu kilat berkenaan.

Ram memberitahu mahkamah bahawa bukti dalam pemacu kilat itu tidak berkaitan dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Ebit.

Sekiranya ia digunakan sebagai bahan bukti, pembelaan perlu ke syarikat LGMS bagi melihat apa kandungan yang terdapat dalam Appendix B.

Syarikat LGMS adalah penyedia perkhidmatan keselamatan siber profesional yang menganalisis data digital.

Keputusan mengenai penggunaan 90 gambar berunsur lucah sebagai bahan bukti dibenarkan mahupun ditolak oleh mahkamah akan diputuskan esok pagi.

Ebit Lew didakwa atas 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, pendakwah terkenal itu didakwa dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida dan Nur Masrin Amalia manakala, Ebit Lew diwakili Peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut.

Perbicaraan Ebit Lew akan bersambung semula pada pukul 10.30 pagi esok.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.