Penoreh lega harga lantai getah naik

Penoreh lega harga lantai getah naik

KEGEMBIRAAN terpancar di raut wajah penoreh getah di Gua Musang, Kelantan selepas kerajaan mengumumkan khabar gembira buat mereka menerusi pembentangan Belanjawan 2023 kelmarin. - MINGGUAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kenaikan harga lantai getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram menerusi Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 kelmarin, melegakan penoreh yang ketika ini terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup.

Rata-rata penoreh yang ditemui Mingguan Malaysia menyifatkan langkah itu tepat bagi membantu mereka yang ketika ini terkesan akibat kejatuhan harga komoditi tersebut.

Penoreh getah, Ismail Awang Hamad, 59, berkata, langkah itu dapat menambah pendapatan harian mereka ketika sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

“Walaupun mengharapkan harga getah melebihi paras RM3, kami tetap berterima kasih apabila kerajaan prihatin dengan nasib penoreh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi Mohamad Hanifa Mohd. Zain, 31, kenaikan harga getah tersebut memang dinanti oleh penoreh yang hanya bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman itu.

Katanya, harga getah di bawah paras RM2.40 sebelum ini menyebabkan mereka bergelut untuk menyara hidup dan melakukan pekerjaan sampingan lain.

Sementara itu, Wan Ab. Talib Wan Jusoh, 69, berharap kerajaan dapat menambah baik kaedah penyaluran bantuan terutama Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada penoreh di kawasan luar bandar.

Katanya, kebanyakan penoreh di luar bandar yang tidak berada dalam pemantauan agensi kerajaan seperti Felda banyak tercicir menerima bantuan berkenaan.

“Kami bersyukur Bantuan Musim Tengkujuh juga ditingkatkan daripada RM600 kepada RM800.

“Kami berharap kerajaan dapat memudahkan urusan penoreh kawasan luar bandar bagi memudahkan mereka membuat tuntutan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×