Penggal tetap Parlimen jamin kestabilan kerajaan dalam lima tahun

Penggal tetap Parlimen jamin kestabilan kerajaan dalam masa lima tahun

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar penggal tetap Parlimen bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) secara automatik perlu diwujudkan selepas genap mandat lima tahun bagi sesebuah kerajaan.

Gesaan itu dibuat kepada kerajaan bagi memastikan sesebuah kerajaan stabil tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak, sekali gus dasar kerajaan dapat dibentuk dengan baik selama tempoh pemerintahan sesebuah kerajaan.

Cadangan itu dibuat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya cadangkan kita wujudkan penggal tetap Parlimen supaya pentadbiran kerajaan jelas. Rakyat jelas untuk uruskan kehidupan dan perniagaan juga jelas (dengan perjalanan kerajaan).

“Apabila penggal Parlimen ditetapkan untuk lima tahun, tiada lagi teka-teki. Tiada yang nak tebuk atap atau ikut pintu belakang dan kerajaan yang diberi mandat dapat laksanakan tawaran, janji serta manifesto tanpa diganggu-gugat,” katanya.

Cadangan mewujudkan Akta Penggal Tetap Parlimen antara kandungan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi menangani isu ketidaktentuan politik.

Mengulas lanjut, Dzulkefly turut menegaskan penggal tetap itu hanya boleh dilaksanakan dengan mekanisme semak dan imbang yang kukuh, bagi memastikan dakwaan penyelewengan dana yang berlaku ketika pentadbiran lalu tidak berulang.

Katanya, ketiadaan semak dan imbang ketika Parlimen digantung semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, membawa kepada dakwaan penyelewengan dalam tadbir urus, pembelian dan perolehan, yang kini dalam semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya yakin rakan pembangkang tiada masalah untuk berperanan sebagai His Majesty’s Loyal Opposition dan diberi infrastruktur, pegawai penyelidik, emolumen, sedikit imbuhan

“Peranan ini dapat memastikan demokrasi di Parlimen ini sihat, serta semak dan imbang benar-benar dilaksanakan, sekali gus menjadikan Parlimen penggal ke-15 ini satu yang unik, mengangkat maruah negara dan diteladani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya