Penempatan haram PATI kawasan belum diwarta

Penempatan haram PATI kawasan belum diwarta

PETUGAS Majlis Perbandaran Sepang melakukan kerja-kerja pembersihan penempatan PATI di Cyberjaya, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengesahkan lokasi penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibina secara haram di sini adalah sebuah kawasan yang belum diwartakan membabitkan keluasan kira-kira 1.62 hektar.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya tidak dapat mengesan kawasan penempatan haram itu sebelum ini berikutan kedudukannya yang jauh dari jalan utama serta terselindung di sebalik bukit dan hutan belukar.

“Kalau ikut dari pelan perancangan kawasan ini dijadikan tanah lapang tetapi belum diwartakan jadi dalam erti kata lain adalah tanah kerajaan. Kalau lihat dari segi kedudukan (penempatan) tiada hubungan jalan yang lengkap dan menyebabkan pihak majlis sukar mengesan aktiviti penempatan haram di sini.

“Justeru selepas penempatan ini diroboh dan dibersihkan, kita akan kawal kerana dikhuatiri mungkin jadi tempat jenayah atau aktiviti tidak sepatutnya kerana kawasan ini jauh dari jalan utama,” katanya kepada pemberita ketika Operasi Pembersihan Penempatan PATI itu hari ini.

Abd Hamid berkata, kerja-kerja perobohan dan pembersihan di kawasan penempatan itu dijangka mengambil masa sekitar seminggu.

Jelas beliau, operasi perobohan itu melibatkan sebanyak 110 buah rumah di empat perkampungan kecil yang dihuni oleh PATI sebelum ini.

“Kita juga menemukan sebanyak 10 buah perigi yang dipercayai dibina sendiri oleh penghuni di penempatan tersebut dengan salah sebuahnya berkedalaman hampir 6.09 meter. Kita akan minta nasihat dari jabatan teknikal adakah kalau kita timbus ia akan mendatangkan masalah kemudian tapi buat sementara waktu kita akan tutup dahulu untuk mengelak sebarang kemalangan,” ujarnya.

Pada 16 Februari lalu, media melaporkan JIM menggempur satu penempatan PATI haram membabitkan empat buah perkampungan kecil yang berselindung di sebalik bukit dan hutan belukar di Cyberjaya. Penempatan itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bekalan air dan elektrik serta kedai runcit. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.