Penduduk trauma, tidur di kawasan terbuka dan dalam kereta

Tragedi gempa bumi: Penduduk trauma, tidur di kawasan terbuka dan dalam kereta

RAMAI penduduk di kawasan tenggara Turkiye memilih tidur di khemah, kawasan terbuka atau dalam kereta demi memastikan keselamatan diri susulan gempa bumi yang melanda malam kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZIANTEP, Turkiye: Cemas, trauma dan takut. Demikian perasaan menyelubungi penduduk di kawasan tenggara Turkiye susulan gempa bumi bermagnitud 6.5 yang melanda malam kelmarin (awal pagi semalam waktu Malaysia).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia bagaikan derita berganda dialami mereka selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 melanda wilayah berkenaan pada 6 Februari lalu, mengorbankan lebih 40,000 nyawa di negara ini termasuk di Syria.

Apa yang menyedihkan, biarpun mungkin masih terdapat saki-baki mayat di bawah sisa runtuhan dan belum pun hilang penat ujian pertama, penduduk serta mangsa yang terselamat perlu bersedia kemungkinan berlakunya tragedi selepas ini.

Keadaan ini dapat dilihat di sekitar jalan raya dan beberapa kawasan yang agak sibuk selepas orang ramai berlindung serta menginap di khemah yang disediakan di kawasan terbuka termasuk padang.

Penduduk yang juga sukarelawan, Abdal Kareem Khlaf, 38 berkata, banyak penduduk takut dan trauma sehingga sanggup meninggalkan kediaman sebaik sahaja berlaku gegaran yang agak kuat dan berskala tinggi.

“Apabila ada berlaku gegaran, banyak penduduk memilih untuk tidur di khemah atau di kawasan terbuka. Ada juga yang sanggup tidur dalam kereta demi memastikan keselamatan diri.

“Mencari keselesaan perkara nombor dua. Pada kami tempoh 10 saat gegaran terasa begitu lama. Apatah lagi kalau seminit yang saya rasakan seperti setahun. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Misi Bantuan Kecemasan Gempa Bumi Turkiye-Syria di sini, semalam.

Misi anjuran Pertubuhan Peduli Insan itu membabitkan beberapa wilayah di Turkiye dan Syria selain bantuan musim sejuk di Lubnan.

Setakat ini lebih 40,000 angka korban dicatatkan selepas kejadian gempa bumi berskala 7.8 Richter berlaku pada 6 Februari lalu.

Dalam perkembangan lain, Abdal Kareem berkata, misi pencarian mangsa yang masih hidup dilaksanakan walaupun sudah dua minggu berlakunya kejadian gempa bumi.

“Tidak dinafikan memang agak tipis untuk mencari mangsa yang selamat. Lagipun banyak pasukan mencari dan menyelamat sudah letih apatah lagi harapan agak tipis untuk menemukan mereka yang terselamat.

“Namun misi diteruskan dalam skala kecil. Ahli keluarga yang masih menaruh harapan dan mencari mangsa sehingga kini,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Aziz, 29, berkata, dia bersama isteri selain dua anaknya yang berusia empat tahun dan setahun masih trauma walaupun tragedi berlalu lebih dua minggu lalu.

“Saya masih tinggal di dalam khemah. Kami takut dengan gegaran yang agak mencemaskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN