Penduduk, aktivis alam sekitar 'ditahan' ketika tinjau pencerobohan pantai - Utusan Malaysia

Penduduk, aktivis alam sekitar ‘ditahan’ ketika tinjau pencerobohan pantai

TANGKAP layar video perbalahan aktivis alam sekitar dengan wakil syarikat aktiviti mengorek pasir pantai di Segari di Lumut hari ini. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Beberapa penduduk dan aktivis alam sekitar yang menyertai tinjauan pencerobohan Pantai Pasir Panjang, Segari di sini ditahan kira-kira dua jam oleh wakil syarikat yang melakukan kerja-kerja pengorekan pasir di situ hari ini.

Mereka yang menaiki beberapa kenderaan pikap dihalang meninggalkan kawasan tersebut apabila wakil syarikat tersebut meletakkan kenderaan berat bagi menghalang laluan kenderaan itu sehingga menimbulkan perbalahan antara mereka.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing, diiringi anggota polis berpangkat Sarjan pergi ke lokasi tersebut bagi berunding dan menyelesaikan perbalahan tersebut.

Terdahulu, May Ing bersama wartawan, wakil persatuan nelayan, anggota polis serta Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, pergi ke lokasi pencerobohan pantai menaiki bot nelayan.

Selepas melakukan tinjauan, kumpulan tersebut kembali ke Pantai Teluk Senangin menaiki bot yang sama dan sebaik tiba di pantai tersebut, mereka diberitahu mereka yang menggunakan laluan darat dihalang keluar memaksa May Ing pergi ke lokasi menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Sementara itu, Meor Razak menjelaskan beliau turut diminta kembali ke lokasi bagi meredakan keadaan.

Jelas beliau, wakil syarikat tersebut mendakwa penduduk dan aktivis alam sekitar telah memasuki tanah milik syarikat itu tanpa kebenaran.

Beliau menerangkan pihaknya telah meminta maaf kepada wakil syarikat tersebut jika ada salah faham ketika berkomunikasi dengan mereka, sebelum semua mereka dibenarkan beredar dari situ.

Dalam pada itu, SAM turut berkongsi video perbalahan antara wakil syarikat itu dengan aktivis alam sekitar dalam Twitternya.

SAM mendakwa aktiviti tanpa permit itu dilakukan di dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 dan pantai pendaratan penyu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya