IPOH: Pembinaan sebuah taman tema di Tanjung Tualang tidak menggunakan wang atau sumber daripada kerajaan negeri mahupun duit rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan taman tema itu untuk menjana pendapatan bagi kos-kos penyelenggaraan Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 atau TT5 di bawah pengurusan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.).
“Projek taman tema ini tidak menggunakan mana-mana sumber duit kerajaan negeri atau duit rakyat tetapi sepenuhnya dikelola oleh syarikat swasta.
“Projek ini juga menggunakan kaedah Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) dan akan diuruskan oleh MB Inc.,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Saarani berkata, fungsi MB Inc. adalah merupakan tuan tanah selain menjana pendapatan untuk memulihara kapal korek berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Anuar Zainal Abidin berkata, taman tema baharu itu merupakan salah satu produk pelancongan sedia ada seperti Maze Garden dan Petting Zoo.
Katanya, kerja-kerja pembangunan bagi projek ini telah berjalan sejak setahun lalu dan akan dilancarkan pada Jun tahun ini.
“Anak syarikat milik penuh Tafi Industries Bhd, Tafi Home & Office Sdn Bhd yang membina taman tema itu bukan anak syarikat kerajaan negeri tetapi ia rakan usahasama kami,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan anak syarikat milik penuh Tafi Industries Bhd, TAFI Home & Office Sdn. Bhd. dianugerahkan kontrak oleh TT5 Theme Assets Sdn. Bhd bagi membina, menguji dan memasang, menyiap dan menyerahkan kerja taman tema di Tanjung Tualang.
Menerusi laporan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TAFI, Datuk Seri Bryan Wong berkata, kontrak RM11 juta itu mempunyai tempoh 18 bulan dari 15 Februari 2023 hingga 14 Ogos 2024. – UTUSAN










