Pemandu nyaris rentung lori terbakar - Utusan Malaysia

Pemandu nyaris rentung lori terbakar

Lori terbakar
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah lori dekat Lebuhraya Persekutuan berdekatan bekas tapak Plaza Tol Batu Tiga, di Shah Alam, Selangor.

SHAH ALAM: Seorang lelaki nyaris rentung apabila lori dipandunya musnah terbakar di Lebuhraya Persekutuan berdekatan bekas tapak Plaza Tol Batu Tiga di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia lingkungan 50-an terselamat selepas berjaya keluar dari kenderaan tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, sepasukan enam anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 10.38 malam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati api masih marak memusnahkan lori lima tan yang berada di tepi jalan berkenaan.

“Pemandunya bagaimanapun didapati selamat dan sudah keluar dari kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Norazam, lori berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN