Pemaju, kontraktor enggan bina rumah bawah RM100,000 - Utusan Malaysia

Pemaju, kontraktor enggan bina rumah bawah RM100,000

TERDAPAT perbezaan di antara hartanah pegangan bebas dan pajakan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju dan kontraktor perumahan bersedia untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, namun enggan menjualnya pada harga di bawah RM100,000 terutama di kawasan bandar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM), Hasniro Hasbullah menjelaskan, kenaikan harga rumah mampu milik tidak dapat dielakkan akibat peningkatan kos bahan binaan dan buruh, kos pematuhan dan kos tanah.

Beliau berkata, kos yang paling memberi kesan adalah kos binaan dan kos buruh yang naik sehingga 20 peratus kesan daripada harga pasaran dan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 tahun lalu.

“Kos bina rumah sebenarnya meningkat dengan mendadak. Bayangkan, seorang buruh bekerja menerima upah RM80 sehari kini perlu dibayar RM100. Gaji kakitangan syarikat perumahan baik yang berpusat di Lembah Klang, di Pantai Barat atau Pantai Timur juga meningkat. Sama juga kos bahan binaan seperti simen dan besi.

“Jadi, apabila pemaju atau kontraktor mahu mengambil projek berkeluasan 800 kaki persegi sebagai contoh, mereka perlukan sekurang-kurangnya 20 peratus keuntungan kasar kerana apabila kos meningkat 20 peratus, harga juga perlu naik 20 peratus. Sebab untung akan kurang tapi kos naik,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan akhbar ini yang memaklumkan bahawa harga rumah mampu milik baharu dijangka terus melonjak antara 20 hingga 25 peratus ekoran peningkatan terhadap permintaan dan kos bahan binaan.

Tinjauan harga rumah mampu milik terdiri yang ditawarkan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menunjukkan Residensi Wilayah berharga antara RM198,000 hingga RM300,000 manakala Selangorku menawarkan harga sekitar RM100,000 hingga RM250,000, sementara rumah berharga antara RM42,000 hingga RM84,000 dijual sama ada sebagai rumah kos rendah, atas tanah rizab Melayu atau terletak di luar bandar.

Harga rumah mampu milik di negeri-negeri lain juga menunjukkan trend peningkatan apabila dijual pada RM50,000 hingga RM150,000 sekali gus mengehadkan pilihan pengguna terutama golongan B40 dan sebahagian M40.

Malah, kajian terbaru Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) juga mendapati lebih 50 peratus daripada 150 ahlinya yang terdiri daripada pemaju perumahan bercadang melancarkan projek baharu namun pada harga antara RM250,001-RM500,000.

Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada 500,000 buah rumah mampu milik yang bakal dibina menjelang 2025 dapat terus menjual dengan harga maksimum RM300,000 seperti yang ditetapkan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

Hasniro menambah, harga rumah mampu milik biasanya ditetapkan berdasarkan kehendak kerajaan dan peruntukan yang disediakan namun masih bergantung kepada kos yang tidak dijangka.

“Kontraktor akan membina projek berdasarkan bajet yang disediakan, tetapi sebagai contoh, jika diminta untuk membina rumah teres berharga RM120,000 sekali dengan fasiliti, tidak dapat buat dengan harga itu, kerana keadaan industri juga akan mempengaruhi harga tersebut,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan juga tidak boleh sekadar menetapkan harga yang rendah semata-mata mahu memenuhi permintaan dalam pasaran mampu milik.

Namun katanya, kenaikan harga boleh ditangani dengan kerjasama pemaju dan kontraktor dalam menjimatkan kos pembinaan dan pada masa sama tidak menjejaskan kualiti rumah.

“Kalau nak lari dari kenaikan harga memang tak boleh, harga itu lambat-laun akan naik, cuma cepat dan lambat sahaja, tetapi kerajaan boleh melambatkan kenaikan harga dengan pelbagai cara binaan teknologi.

“Sebab itu, sekarang ini ada usaha giat menggalakkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) tetapi kerajaan perlu terus berusaha mendapatkan pandangan para pemaju dan kontraktor..turun di lapangan supaya dapat mencari cara membina rumah mampu milik dengan kos yang menjimatkan. Dari sudut ini, kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk mengenal pasti penyelesaian sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya