Pekebun Musang King tanpa geran tolak terma berat sebelah

Pekebun Musang King tanpa geran tolak terma berat sebelah RPDR-PKPP 

PEKEBUN-pekebun Musang King tanpa geran yang hadir perhimpunan bersama Save Musang King Alliance (Samka) di Sungai Ruan, Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Lebih 500 pekebun Musang King tanpa geran di Sungai Ruan di sini sebulat suara menolak kandungan kertas terma terbaharu bertarikh 30 Disember tahun lalu yang ditawarkan oleh pihak Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd. (RPDR-PKPP) kepada mereka kerana didakwa mengandungi syarat-syarat yang bersifat eksploitasi.

Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang berkata, walaupun pihak RPDR-PKPP mendakwa bahawa terma-terma itu sudah diperbaiki tetapi cadangannya masih bersifat berat sebelah seperti menetapkan harga tetap yang jauh murah daripada pasaran, memaksa pekebun menjual semua durian kepada kilang syarikat terbabit yang belum dibina.

Bagaimanapun, katanya, pekebun-pekebun bersetuju untuk menubuhkan panel rundingan bagi memulakan perbincangan dengan kerajaan negeri mahupun syarikat RPDR-PKPP supaya menyelesaikan kemelut Musang King.

“Lanjutan itu, mereka mencapai resolusi bahawa rundingan tersebut perlu berdasarkan prinsip rakan setara, ini bermakna segala syarat kontrak dan penandatanganan kontrak harus berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.

“Tambahan pula, perdagangan bebas perlu dijamin bagi suasana persaingan yang sihat. Aktiviti penjualan durian kepada pihak syarikat haruslah bebas daripada unsur paksaan.

“Pekebun-pekebun juga sudi membayar kadar cukai tanah yang 20 kali lebih daripada kadar cukai yang ditetapkan dalam Warta Negeri Pahang 2019. Mereka juga sedia untuk membayar kos tahunan pemeliharaan alam sekitar untuk mewujudkan industri durian dan persekitaran yang lestari,” katanya selepas perhimpunan pekebun-pekebun tanpa geran di Sungai Ruan di sini semalam.

Chang berkata, perhimpunan itu juga mencapai resolusi untuk meneruskan semakan kehakiman atas alasan bahawa syarat-syarat baharu yang ditawarkan RPDP-PKPP masih tidak dapat menjamin kepentingan pekebun-pekebun Musang King.

Beliau dalam pada itu berkata, Samka juga berasa kesal kerana wakil RPDR-PKPP menolak menghadiri perhimpunan tersebut melalui surat rasmi daripada firma peguam. 

“Syarikat RPDR-PKPP tidak pernah menganjurkan sesi townhall dengan pihak pekebun, malah enggan merebut peluang ini untuk berdialog.

“Ia adalah jelas bahawa syarikat swasta tersebut langsung tidak berniat untuk mencapai solusi menang-menang dengan pekebun-pekebun tetapi hanya berfokus kepada keuntungannya sahaja,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya menasihatkan pekebun durian Musang King di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di Raub yang terlibat dengan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan supaya menimbang semula sama ada untuk meneruskan atau tidak tindakan permohonan semakan kehakiman tersebut.

Wan Rosdy dilaporkan berkata, kerajaan negeri berpandangan bahawa tanah-tanah yang dipertikaikan adalah tanah kerajaan negeri yang merupakan hak milik yang tidak boleh disangkal walaupun dalam konteks ekuiti.

Sebelum ini, pada 3 Julai 2021 kawasan penanaman durian Musang King di Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar melibatkan kira-kira 15,000 pokok telah ditebang kerana ditanam di kawasan hutan simpan kekal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.