`Pegawai SPRM pujuk Syed Saddiq sokong Muhyiddin'

`Pegawai SPRM pujuk Syed Saddiq sokong Muhyiddin’

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membela diri terhadap empat pertuduhan berkaitan dana Armada. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) `memujuk’ Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengelakkan pendakwaaan dikenakan terhadapnya.

Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berkata, beliau diminta menyokong Muhyiddin sewaktu pihak SPRM menggeledah rumahnya dan ketika siasatan dijalankan.

Meskipun tidak mempunyai isu peribadi dengan Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri, beliau menyifatkan permintaan pegawai berkenaan bagi mengelakkan pendakwaan terhadapnya, adalah salah.

“Beliau bersama saya hampir setiap hari ketika proses penggeledahan dan siasatan, namun adalah salah untuk meminta saya menyokong Muhyiddin bagi mengelak saya didakwa. Salah untuk beliau menyatakan bahawa SPRM menjadi alat politik ketika pertukaran kerajaan dan saya menjadi mangsa politik.

“Saya harap perkara ini akan diperbetulkan,” ujar Syed Saddiq ketika membela diri terhadap empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Ahli Parlimen Muar itu selaku saksi pembelaan pertama menyatakan demikian pada pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh peguam Gobind Singh Deo. Semalam, Syed Saddiq menyatakan, pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik dendam manakala beberapa sahabatnya diugut memberikan kenyataan mengikut kehendak SPRM ketika siasatan dijalankan.

Ujar Syed Saddiq, ugutan tersebut terhenti apabila salah seorang rakannya bernama Hidayah membuat kenyataan media bahawa beliau diugut dan dikasari pegawai agensi itu ketika soal siasat manakala rakan lain membuat laporan polis.

Beliau ketika itu diminta oleh peguam Haijan Omar merujuk transkrip rakaman audio dikatakan perbualan di antara beliau dan seorang pegawai kanan SPRM dikenali sebagai Ihsan.

Dalam transkrip rakaman audio itu, Ihsan dikatakan cuba memujuk Syed Saddiq menyokong Muhyiddin kerana bekas Perdana Menteri itu yang membawa beliau memasuki Bersatu dan masih mengambil berat terhadapnya.

Pada prosiding hari ini, Gobind merujuk Syed Saddiq berhubung cadangan pendakwaan bahawa keterangannya di mahkamah merupakan suatu yang difikirkan semula (afterthought).

Gobind: Adakah keterangan kamu benar?

Syed Saddiq: Keterangan saya benar Yang Arif. Hingga kini saya masih ingat dengan jelas kejadian berlaku dan perkara yang dibualkan serta apa yang berlaku selepas itu. Ini salah dan saya berharap musuh-musuh politik saya tidak akan melalui perkara yang sama.

Pada sesi pemeriksaan balas, beliau ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa beliau mengarahkan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu untuk mengeluarkan wang RM1 juta kerana khuatir wang itu akan disita SPRM.

Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Tertuduh juga tidak bersetuju bahawa beliau berbohong berhubung kehilangan wang RM250,000 daripada peti besi di rumahnya sehingga mengheret kedua-dua ibu bapanya dalam siasatan.

Menjawab soalan Wan Shaharuddin, Syed Saddiq mengaku tidak memberitahu Rafiq Hakim bahawa pemindahan wang RM120,000 daripada Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke dalam akaun miliknya, merupakan pembayaran balik wang yang telah digunakan bagi kempen pilihan raya.

Beliau juga bersetuju tidak menunjukkan resit-resit perbelanjaan kempen kepada Rafiq Hakim selaku Penolong Bendahari Armada Bersatu.

Syed Saddiq sebelum itu berkali-kali menyatakan beliau tidak pasti sama ada telah memberitahu Rafiq Hakim bahawa pemindahan wang RM120,000 hasil majlis meraih dana, perlu diganti kerana beliau telah menggunakan wang peribadi untuk kempen politik.

Ujar beliau, Rafiq Hakim tidak dimaklumkan kerana beliau tidak terlibat dalam majlis meraih dana tersebut selain ketika itu berada di Perlis untuk kempen pilihan raya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok. Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq, 30, didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.