Pegawai MBSA tak mengaku salah terima Vellfire - Utusan Malaysia

Pegawai MBSA tak mengaku salah terima Vellfire

MBSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memegang jawatan Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan didakwa menerima suapan sebuah kereta mewah, dekat Mahkamah Sesyen, hari ini.

Bagaimanapun tertuduh, Feroz Hanif Mohamed Ahmad, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Feroz Hanif dituduh menerima suapan iaitu sebuah kereta Toyota Vellfire yang dianggarkan bernilai RM325,000 daripada pengurus syarikat MA Bina Jaya Enterprise, Azri Abdullah tanpa sebarang balasan.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 14 April 2017 di Vision Motor Sports Sdn. Bhd., Kampung Kayu Ara Damansara

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam mewakili Feroz, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan memohon jumlah jaminan dikurangkan berikutan kerjasama diberikan sepanjang siasatan SPRM terhadapanya.

Rozilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan pematuhan terhadap syarat tambahan serta memutuskan sebutan semula kes pada 24 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya