Pecah mesin token, 6 suspek termasuk 2 pasangan suami isteri ditahan - Utusan Malaysia

Pecah mesin token, 6 suspek termasuk 2 pasangan suami isteri ditahan

SOFFIAN Santong (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada sindiket pecah mesin token permainan dan mesin urut yang berjaya ditumpaskan polis dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis menahan enam suspek termasuk dua pasangan suami isteri di Sungai Nibong di sini, Ahad lalu kerana terlibat dalam kegiatan pecah mesin token permainan dan mesin urut di beberapa negeri termasuk di Pulau Pinang.

Empat suspek lelaki dan dua wanita yang berasal dari Johor itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam selepas kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki mereka berjaya dipintas pasukan polis di Sungai Nibong.

Tiga daripada suspek lelaki merupakan adik beradik dan mereka memasuki Pulau Pinang sebanyak dua kali sejak bulan lalu untuk menjalankan kegiatan pecah mesin token permainan serta mesin urut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komisioner Soffian Santong berkata, pada 31 Januari lalu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan mendakwa dua mesin token permainan miliknya di sebuah pasar raya di sini dipecahkan dan wang tunai di dalam mesin tersebut dicuri.

”Mangsa mengalami kerugian RM2,365 dan susulan laporan itu, satu operasi telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Timur Laut bersama cawangan kereta peronda.

“Polis berjaya mengesan kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki suspek menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebuah pasar raya.

”Polis kemudian berjaya memintas kereta yang dinaiki enam suspek berusia 22 hingga 32 tahun ini dan menahan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Menurut Soffian, hasil soal siasat mendapati kesemua suspek terlibat dalam 11 kes pecah mesin duit token iaitu enam kes di Pulau Pinang; masing-masing dua kes di Perak dan Kedah serta satu kes di Kelantan melibatkan kerugian RM20,000.

”Hasil siasatan mendapati mereka sering bergerak dari satu negeri ke satu negeri bagi menjalankan kegiatan pecah mesin token ini.

”Mereka akan berpura-pura bermain mesin permainan ini dan berkumpul beramai-ramai sebelum salah seorang mereka memotong mangga yang menjadi tempat simpanan wang mesin token ini,” katanya.

Tambahnya, suspek-suspek itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, peniaga barangan terpakai, juruelektrik dan pembuat batu nisan didapati aktif menjalankan kegiatan pecah mesin token sejak Januari lalu.

”Semakan mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah serta dadah dan ujian saringan mendapati seorang lelaki positif dadah.

”Tangkapan ditahan reman selama lima hari sehingga 17 Februari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, dalam serbuan sama, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Alza; lima buah telefon bimbit; alat pemotong; wang tunai dan pelbagai barangan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya