Pampasan pemanjangan jeti dibayar sebelum Aidilfitri

Pampasan pemanjangan jeti dibayar sebelum Aidilfitri – Ketua Menteri

KERATAN laporan Utusan Malaysia 9 Februari 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kira-kira 243 nelayan dan awak-awak dari lapan pangkalan nelayan di Pantai Kundor hingga Klebang bakal menerima bayaran pampasan bagi projek pemanjangan jeti selewat-lewatnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau telah memaklumkan kepada pihak pengurusan Tanjung Bruas Port supaya menjelaskan bayaran yang tertunggak sejak tiga tahun lalu.

“Mereka (Tanjung Bruas Port) kena bayar pampasan itu. Saya sudah maklumkan kepada pihak terbabit dan kalau boleh bayar sebelum puasa atau selewat-lewatnya sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Panjang jeti yang disambung cuma 50 meter sahaja dan kalau sambung lima meter lagi, nelayan akan tuntut pampasan lagi. Ini biasalah jangan tak bayar sudahlah.

“Saya tetap mahu pihak terbabit bayar pampasan seperti yang dijanjikan, jangan tidak bayar pula,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Rumah Program Melaka Rumahku 2023 di Kampung Durian Daun di sini hari ini.

SULAIMAN Md. Ali menandatangani papan tanda semasa Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Rumah Program Melaka Rumahku 2023 di Kampung Durian Daun, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 243 nelayan dan awak-awak merayu kerajaan negeri campur tangan, berhubung isu pampasan yang didakwa mereka masih belum dijelaskan bagi projek pemanjangan jeti.

Pampasan tersebut dikatakan dituntut oleh nelayan dari Sungai Lereh, Klebang, Balik Bukit, Pengkalan Perigi, Pantai Jaring, Pantai Rombang, Pantai Kundor dan Tanjung Kling.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan membina 60 lagi unit rumah melalui Program Melaka Rumahku 2023 melibatkan kos sebanyak RM3 juta pada tahun ini.

Menurutnya, program itu dikhususkan kepada mereka yang amat memerlukan melibatkan mangsa bencana, kebakaran, rumah terlalu usang dan tidak selamat dihuni.

“Setakat ini LPM telah menyerahkan surat tawaran Melaka Rumahku 2023 kepada tiga penerima dan masih ada baki 57 kekosongan yang akan diisi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya